Pendekatan turun padang memahami keperluan usahawan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri terus mempergiat usaha membantu usahawan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa dengan mengamalkan pendekatan turun padang bagi memahami keperluan sebenar golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pelbagai inisiatif termasuk penyediaan pinjaman dan geran masih diteruskan bagi memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

- Advertisement -

Menurut beliau, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan bersama agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi menyelaras langkah lebih berkesan dalam mendepani cabaran ekonomi yang berpanjangan.

“Dalam keadaan krisis ekonomi yang tidak menentu ini, kita tidak tahu bila ia akan berakhir. Walaupun konflik global mungkin tamat, kesannya tetap berpanjangan termasuk melibatkan kenaikan harga bahan api yang memberi tekanan kepada peniaga.

“Justeru, kita akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan, walaupun dari segi kewangan kita mempunyai kekangan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam kali Pertama 2026, di sini, hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat menegaskan, pendekatan turun padang akan dipergiat dengan melibatkan lawatan ke daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi bertemu secara langsung dengan peniaga.

Katanya, langkah itu penting bagi mengenal pasti masalah sebenar di peringkat akar umbi selain mencari penyelesaian praktikal yang boleh dilaksanakan segera.

“Apa sahaja bentuk bantuan yang mampu kita berikan, sama ada sokongan bukan kewangan atau bantuan lain, kita akan usahakan sebaik mungkin untuk membantu mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri turut memanfaatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai platform mendapatkan pandangan dan cadangan daripada wakil rakyat berhubung langkah membantu golongan peniaga.

“Banyak soalan dan cadangan telah dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, dan kita akan teliti serta pertimbangkan dalam merangka dasar untuk membantu peniaga, Insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yakin langkah penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mampu membantu mengekang kenaikan harga barang keperluan asas.

Katanya, kawalan harga terhadap barangan tertentu seperti ayam, telur dan gula serta pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa dapat memastikan harga kekal berpatutan dan tidak membebankan rakyat.

“Kita akan terus bekerjasama dengan KPDN bagi memastikan harga barang tidak melampau, sekali gus menjaga imej negeri sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan harga berpatutan,” katanya.

Terdahulu, harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April dilaporkan meningkat kepada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 sebelum ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan, harga petrol RON97 tanpa subsidi turut mencatat kenaikan kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter.

Kenaikan tersebut didorong oleh lonjakan harga minyak mentah global sejak lima minggu lalu, susulan krisis tenaga di Asia Barat yang turut meningkatkan kos petroleum serta perbelanjaan berkaitan termasuk logistik dan insurans. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -