
SHAH ALAM: Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilihat kini berdepan fasa ‘self-destruction’ yang semakin membimbangkan.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, berkata tindakan PH-BN yang dikatakan membelakangi prinsip reformasi dan keadilan kini memakan diri, malah berpotensi menyebabkan kehilangan sokongan pengundi teras yang sebelum ini menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, perkembangan itu menyebabkan sebahagian rakyat mula beralih arah dengan meletakkan harapan kepada Perikatan Nasional (PN).
“PN dilihat sebagai satu-satunya blok politik yang konsisten memperjuangkan nasib rakyat, tidak berpolitik secara berterusan serta memiliki barisan kepimpinan yang menggabungkan teknokrat dan ulama berwibawa,” katanya kepada Harakahdaily.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kegagalan tersebut berpunca daripada tiga faktor utama.
Faktor pertama, katanya disebabkan pelaksanaan dasar dan polisi yang disifatkan tidak demokratik.
“Pendekatan PH-BN yang didakwa menggunakan agensi kerajaan untuk menyekat suara rakyat, tidak memberikan peruntukan secara adil kepada pembangkang serta menafikan hak rakyat Terengganu untuk menikmati royalti secara saksama, merupakan pelanggaran terhadap prinsip asas perjuangan mereka iaitu keadilan sosial dan demokrasi.
“Pengorbanan penyokong teras PH-BN, khususnya dalam kalangan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), berisiko menjadi sia-sia.
“Perjuangan PKR kini seolah-olah mengalami perubahan identiti daripada pro-demokrasi dan keadilan sosial kepada kecenderungan pro-korporat atau pro-kuasa politik,” jelasnya.
Faktor kedua pula, menurut beliau, ialah isu integriti kepimpinan kerajaan yang semakin diragui.
Katanya, sikap ‘bisu’ kerajaan terhadap pelbagai isu termasuk skandal melibatkan pimpinan PKR, kes korporat, siasatan terhadap Tan Sri Azam Baki yang didakwa tidak menunjukkan perkembangan ketara, serta isu rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, mencerminkan kelemahan dalam aspek tadbir urus.
Sementara itu, Faizzuddin berkata faktor ketiga yang dibangkitkan ialah kegagalan mengurus isu krisis minyak, khususnya impak kenaikan harga diesel.
Beliau berkata keadaan itu memberi tekanan kepada kehidupan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah (B40), pertengahan (M40) serta penternak kecil di Semenanjung.
“Bantuan di bawah inisiatif Budi Madani (diesel) disifatkan terlalu rendah berbanding peningkatan harga diesel yang mendadak,” katanya.
Tambah beliau, rakyat kini mengharapkan kestabilan serta keikhlasan dalam pentadbiran yang mampu memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Dengan defisit kepercayaan yang semakin melebar terhadap Kerajaan Madani, kepimpinan PN kini memikul tanggungjawab besar untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke lembah kegagalan yang dibawa oleh PH-BN,” katanya.
Terdahulu, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November 2022, Malaysia menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dikenali sebagai Kerajaan Madani, diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan ini melibatkan gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), serta disokong oleh beberapa blok politik lain bagi membentuk majoriti di Parlimen.
Sejak penubuhan kerajaan ini, beberapa dasar ekonomi telah dilaksanakan termasuk penyasaran semula subsidi diesel bagi mengurangkan ketirisan dan memperkukuh kewangan negara.
Pelaksanaan dasar tersebut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, khususnya melibatkan kos sara hidup. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











