Jika tidak tepat, gunakan saluran undang-undang

Jangan jadikan agensi kerajaan alat politik menekan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebarang perkara yang tidak tepat seharusnya ditangani melalui saluran undang-undang, bukan dengan menggunakan agensi kerajaan sebagai alat tekanan politik.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, agensi kerajaan sepatutnya berperanan melindungi rakyat, bukannya menjadi benteng mempertahankan kepentingan kuasa atau naratif sempit.

- Advertisement -

“Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa bersuara bukan satu jenayah. Rakyat ada hak untuk menyatakan pendapat.

“Rakyat ada hak untuk bertanya. Dan rakyat ada hak untuk bersuara!” tegas beliau dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata demikian susulan penahanan terhadap pemilik akaun TikTok, Seketul Jorjet Myla selama tiga hari berikutan videonya yang berdurasi 3 minit 14 saat, meminta Perdana Menteri pada hari ini lebih baik menjadi Ketua Pembangkang.

Pemilik akaun TikTok itu berkata demikian kerana Perdana Menteri mengatakan pembangkang pada hari ini sebagai ‘bodoh’, ‘bebal’, ‘tidak pandai’ dan sebagainya

Menurut Hanif, Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus bersuara dan berdiri bersama rakyat yang berani menyatakan kebenaran.

“Kami tak takut. Rakyat tak akan tunduk dan kami tak akan berhenti,” tegas beliau lagi.

Beliau turut menggesa kerajaan agar tidak menzalimi rakyat hanya kerana mereka bercakap benar, serta tidak menjadi kerajaan yang membungkam suara yang tidak sehaluan.

Dalam pada itu, Muhammad Hanif menyatakan bahawa, budaya intimidasi politik kini semakin menjadi-jadi, dengan rakyat tidak lagi dilayan melalui hujah, sebaliknya berdepan tekanan, siasatan dan ugutan.

Katanya, tindakan menakut-nakutkan rakyat mencerminkan kerajaan yang semakin tidak toleran terhadap pandangan berbeza.

Beliau menyatakan, individu yang bersuara secara berhemah dan berdasarkan fakta juga tetap dikenakan notis siasatan, disoal siasat, malah ada kes melibatkan kehadiran pegawai ke rumah keluarga mereka.

“Apa salah mereka? Hanya kerana menyatakan pandangan. Hanya kerana tidak memuji. Hanya kerana berani menyatakan kebenaran.

“Ini bukan keadilan. Ini adalah intimidasi. Ini adalah penyalahgunaan kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2026

- Advertisement -