Pusat Aduan Digital mudahkan urusan masyarakat Karambunai

Datuk Dr Aliakbar Gulasan merasmikan Pelancaran Pejabat Pusat Khidmat N16 Karambunai serta Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di), petang semalam.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pelancaran Pejabat Pusat Khidmat N16 Karambunai serta Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di) dilihat mampu memudahkan urusan rakyat di kawasan Karambunai, khususnya dalam menyalurkan aduan berkaitan permasalahan setempat.

- Advertisement -

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri N16 Karambunai yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat, di sini, petang semalam.

Menurutnya, Pusat Khidmat tersebut dibuka kepada orang ramai pada hari bekerja dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang bagi memudahkan penduduk menyampaikan sebarang aduan dan permasalahan.

“Pada hari ini juga, kita melancarkan Pusat Aduan Rakyat Digital (Kara-Di), tuan-tuan boleh mengimbas kod QR sekiranya ingin berjumpa saya atau membuat aduan secara digital,” katanya ketika merasmikan pelancaran tersebut.

Beliau berkata, penggunaan teknologi melalui platform digital itu akan membantu mempercepatkan proses penyampaian aduan serta tindakan susulan oleh pihak berkaitan.

“Kita gunakan teknologi, saya percaya tuan-tuan semua mempunyai telefon pintar dan boleh mengimbas kod QR yang akan diedarkan, khususnya bagi warga Karambunai berkaitan isu-isu dalam Karambunai.

“Boleh imbas dan membuat aduan di sana. Insya-Allah, saya memberi jaminan bahawa kita akan mengambil tindakan dengan segera bersama staf bagi memudahkan urusan semua,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin, Ketua Dewan Ulamak dan Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Jupri dan Hendri Hamsah serta Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Ahrizal Latif. – HARAKAHDAILY 13/4/2026

- Advertisement -