
KOTA KINABALU: Rumah Terbuka Aidilfitri N16 Karambunai yang dianjurkan oleh jawatankuasa Pusat Khidmat ADUN Karambunai mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 10,000 tetamu hadir dari sekitar Sepanggar serta luar daerah Kota Kinabalu.
Menurut ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, kehadiran tetamu di luar jangkaan, termasuk yang datang dari Tawau dan Semenanjung semata-mata untuk memeriahkan program berkenaan.
“Kehadiran rumah terbuka pada petang tadi sangat luar jangka, malah ada yang datang dari Tawau dan juga dari Semenanjung semata-mata untuk hadir dalam majlis ini,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Majlis yang berlangsung di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat ADUN bermula jam 1.00 hingga 5.00 petang itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat serta rakan-rakan parti politik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk sekitar Sepanggar yang hadir, di samping menzahirkan permohonan maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut.
“Terima kasih kepada penduduk sekitar Sepanggar kerana sudi hadir ke majlis ini, semoga silaturahim kita sentiasa berkekalan.
“Saya mewakili barisan jawatankuasa penganjur memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang majlis. Apa pun, ini sebagai tanda kebersamaan kita, keramaian membawa makna kedamaian buat kita semua,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah.
Pelbagai juadah disediakan untuk para tetamu yang hadir, manakala pemberian duit raya kepada kanak-kanak menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin, Ketua Dewan Ulamak dan Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Jupri dan Hendri Hamsah. – HARAKAHDAILY 13/4/2026











