
SEMUANYA bermula dari sembang-sembang. “Saya ni nak buat umrah untuk PERTIS (Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia), tapi tu lah…!”, demikian luahan Yang Dipertua PERTIS, Mohammad Faizal Che Yusof kepada salah seorang ketua kumpulan kami.
Tertarik dengan kalimah “tapi tu lah..” ketua kumpulan kami cuba selami hasrat beliau. Bermula dari situlah kami tahu hasrat Yang Dipertua PERTIS ini bagi membawa sekumpulan orang kurang upaya (OKU) penglihatan untuk menunaikan umrah dan ziarah di Haramain.

Setelah beberapa siri perbincangan, bermulalah satu perjalanan yang amat menginsafkan seluruh pasukan kami yang terlibat. Yang jelas, umrah kali ini pada kami bukan suatu pengalaman biasa. Lebih dari itu, ia adalah satu pengalaman yang amat bermakna dalam hidup setiap dari kami yang terlibat.
Program kali ini turut disempurnakan dengan kehadiran tokoh dakwah dan pimpinan, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Dato’ Sri telah berperanan sebagai pembimbing buat jemaah sepanjang program berjalan. Seramai 27 OKU penglihatan terlibat ditambah 10 sukarelawan khusus selain pengiring dan jemaah lain yang jumlah keseluruhannya 65 orang.

Perasaan kami sungguh diselebungi keterujaan sebaik sesi pertama kami bersama kumpulan jemaah PERTIS pada 10 Januari dalam kursus umrah dan taklimat. Sesi yang dilangsungkan di pejabat PERTIS di Brickfields, Kuala Lumpur ini menghilangkan debaran kami bagi menguruskan kumpulan jemaah yang pada kami sangat istimewa kali ini.
Banyak persoalan yang sebelum ini bermain di minda dapat dirungkai satu demi satu. Sangat kami yakini kalian di luar sana mungkin menyimpan pelbagai tanda tanya dalam situasi kita yang tidak pernah ada sanak saudara OKU, yang tiada rakan taulan OKU atau tidak pernah ada sesiapa saja yang dekat dengan kita dari kalangan OKU.

Bagaimana mereka menempuhi kehidupan dalam situasi hilang panca indera, bagaimana mereka menguruskan sesuatu dalam suasana serba mencabar dan pelbagai persoalan yang sebenarnya bukan mudah untuk kita faham tanpa bergaul langsung dengan komuniti ini. Pertemuan pertama kami berjaya meruntuhkan tembok ketidakfahaman kami kepada komuniti istimewa ini.
Selesai saja kursus dan taklimat yang diadakan, hanya ada satu tekad kami. Pastikan umrah dan ziarah kali ini suatu yang amat istimewa dan bermakna buat seluruh warga kerja sekali gus memberi yang terbaik untuk para jemaah Pertis.

Setelah selesai persiapan sebelum berangkat, tibalah tarikh yang dinantikan. Penerbangan kami ke Jedah telah dijadualkan pada Khamis tengah hari, 12 Februari 2026. Setelah menempuh 13 jam setengah perjalanan dengan sembilan jam penerbangan dan bakinya persiapan dan perjalanan ke Makkah, rombongan kami menjejakkan kaki di bumi barakah itu pada tengah malamnya.
Setelah para jemaah menyelesaikan segala keperluan diri, kami mula bergerak memasuki Masjidil Haram bagi menyempurnakan umrah pertama sekitar jam 1:45 pagi, Jumaat 13 Februari 2026. Sungguh kami merasa sangat terharu melihat riaksi setiap dari para jemaah OKU penglihatan sewaktu persiapan untuk kami bergerak meninggalkan hotel memasuki Masjidil Haram.

Bagi kita yang mampu melihat, tentunya sebaik mata menyapa bayangan Masjidil Haram, seluruh bulu roma meremang. Pelbagai perasaan syukur, gembira dan rasa terharu bercampur menjadi satu. Namun bagi jemaah kami yang tidak dapat melihat, apa yang sama-sama kami perhatikan betapa perasaan itu tetap mereka rasai walaupun bukan mata yang menyapa wajah bumi Haramain ini.
“Apakah ini sentuhan hati yang dikurniakan Ilahi?” kami sekadar berteka teki sesama sendiri melihat suasana tersebut yang amat mengharukan kami.
Perasaan kami lebih tersentuh sebaik rombongan kami menjejakkan kaki di dataran Kaabah bagi memulai tawaf. Air mata para jemaah OKU penglihatan berjuraian sebaik kami memaklumkan keberadaan rombongan di dataran dan bersedia untuk memulai tawaf.

Bagi kita yang dapat melihat, sememangnya lumrah perasaan sayu dan syukur dengan air mata yang sendirinya sebak menatap Kaabah yang selama ini menjadi kiblat seluruh umat Islam. Namun keadilan Allah SWT itu tetap menyapa jiwa para jemaah yang tidak dapat melihat. Tanpa melihat dengan mata kasar, keberadaan mereka di mataf seolah-olah diperlihatkan secara langsung dengan penglihatan dan keunikan yang tersendiri.

Dengan kesesakan para jemaah, rombongan jemaah kami selesai tawaf dengan lancar meskipun melalui cabaran tersendiri disebabkan bilangan OKU penglihatan yang ramai. Umrah pertama kami disempurnakan sekitar 8:30 pagi, Jumaat 13 Februari 2026.
Tiada kalimah yang mampu kami ucapkan selain rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan selesainya umrah pertama kami pagi itu. Ia telah menyingkap tabir jurang bagi kami yang sempurna sifat dengan para saudara kita yang diuji dengan kehilangan panca netera. Jelas betapa Allah S.W.T yang menciptakan kita dengan kepelbagaian memberi satu ruang untuk kita lebih saling mengenali antara satu sama lain.
Catatan oleh,
ABU HABIBAH
Umrah PERTIS dan In Saff menuju Taqwa, Ihsan dan Redha (PINTAR) 12-23 Februari 2026 – HARAKAHDAILY 13/4/2026











