Aidilfitri meriah, majlis berjadual sebulan di Kedah

Kemeriahan di Rumah Terbuka PAS Pendang
- Advertisement -

SEJAHTERA melatari landskap kehidupan warga rakyat bumi bertuah Kedah Darul Aman yang antaranya terlihat daripada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri dianjurkan di seluruh negeri ini berjadual penuh sepanjang sebulan Syawal.

Majlis paling besar tentunya anjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah yang menerima kunjungan lebih 80,000 hadirin pada acara berlangsung seawal jam 3 petang dan berakhir tengah malam di Seri Mentaloon, Alor Setar, 27 Mac lalu.

- Advertisement -
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, antara yang hadir pada Majls Rumah Terbuka ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria

Menghilir kemeriahan sama, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri turut berlangsung dengan kemeriahan tidak kurang tandingannya menerusi penganjuran oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) mahupun PAS Kawasan-kawasan.

Sepanjang majlis diadakan telah memperlihatkan sambutan yang diberi oleh masyarakat persekitaran khususnya rakyat Kedah amat memberangsangkan, walaupun ada di sesetengah tempat majlis diadakan pada waktu malam.

Kehadiran Rumah Terbuka PAS Jerlun memberangsangkan walaupun julung kali diadakan pada waktu malam

Pada 28 Mac lalu, bertempat di Kompleks PAS Kawasan Jerlun, Lana Bulu, Majlis Rumah Terbuka bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, menyambut kehadiran pengunjung bertemakan Melayu Tradisional.

Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional yang dibawa khas untuk majlis berkenaan, selain ‘photo booth‘ khas menarik menggamit nostalgia lama juga disediakan kepada pengunjung untuk merakam kenangan.

ADUN Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, merakamkan kenangan di ‘photo booth’ bersama isteri

Kehadirannya cukup ramai walaupun julung kali diadakan pada lewat petang hingga ke waktu malam, malah keakraban antara pengunjung bersama pemimpin PAS Kawasan, termasuk Ahli Parlimen Jerlun, Dr Ustaz Abdul Ghani Ahmad juga terjalin mesra.

Sementara di Pendang, ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman bersama Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, setia menanti para pengunjung di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan berkenaan yang diadakan 1 April lalu.

Majlis yang bermula jam 3.00 petang itu diadakan di Markas PAS Kawasan Pendang telah menyediakan menu lazat termasuk nasi daging di mana cukup terkenal di daerah ini menjadi tarikan pengunjung.

Di Baling pula, Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Baling dan ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria, yang diadakan pada 29 Mac, terserlah meriah malah dikatakan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

Kehadiran yang dianggap ‘full house‘ itu dibanjiri oleh kunjungan ramai ke pekarangan Dewan Putik, Kuala Ketil seawal jam 10 pagi, sebelum majlis bermula pada 11.30 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor antara yang turut hadir, selain pemimpin PAS Kedah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN, termasuk penjawat awam hadir meraikan majlis berkenaan di mana ia turut diraikan bersama Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad.

Para hadirin juga berpeluang menyaksikan persembahan silat yang diadakan menambah kemeriahan suasana.

Kemeriahan juga terasa pada majlis yang sama anjuran PAS Kawasan Merbok yang diadakan di Dewan Serbaguna MPSPK, Bandar Laguna, 1 April lalu.

Majlis yang diadakan bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang itu, diraikan bersama ADUN Bukit Selambau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Merbok, Ustaz Azizan Hamzah dan ADUN Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali.

YDP Kawasan Merbok, Ustaz Azizan Hamzah, yang juga ADUN Bukit Selambau bergambar bersama sebahagian petugas pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri kawasan berkenaan

Pelbagai menu disediakan termasuk menu utamanya nasi gulai daging, bihun sup, lemang, ketupat, kuih muih dan lain-lain.

Suasana meriah juga dirasai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, ADUN Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali yang diadakan di KHTP Sport Centre, Kulim pada 5 April lalu.

Majlis yang diadakan bermula jam 5.00 petang hingga 9.00 malam itu dihadiri lebih daripada 10,000 pengunjung khususnya sekitar kawasan Padang Serai.

Kehadiran pengunjung pada tahun ini amat memberangsangkan serta lebih ramai dari tahun lalu, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis berkenaan.

Selain itu difahamkan jadual rumah terbuka bagi PAS dan ADUN-ADUN seluruh Kedah berakhir pada 17 April depan di mana terdapat juga beberapa PAS kawasan mengadakan majlis tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Walau bagaimanapun, pastinya ia akan dihadiri pengunjung yang bukannya hanya meraikan majlis tersebut, tetapi juga ingin bersua para pemimpin mereka kasihi. – HARAKAHDAILY 13/4/2026

- Advertisement -