
PASIR MAS: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap keluarga Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, yang maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta di hadapan surau sekolahnya, semalam.
Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan ringkasnya menyifatkan tragedi tersebut sebagai satu ujian berat yang bukan sahaja menimpa mangsa dan keluarga, malah turut melibatkan pemandu kenderaan berkenaan serta masyarakat keseluruhannya.
“Semoga Allah mengurniakan ketenangan hati dan kekuatan buat semua yang terlibat dalam menghadapi dugaan ini. Ujian terhadap mangsa dan keluarga, ujian juga terhadap pemandu berkenaan, dan ujian juga untuk kita semua,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dilaporkan sedang memakai kasut di hadapan surau sekolah selepas selesai menunaikan solat Zohor sebelum dirempuh sebuah kereta yang diparkir di kawasan tersebut.
Nur Fatimatul Hawa yang kehilangan ibu sejak lima tahun lalu, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas proses bedah siasat selesai.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – HARAKAHDAILY 13/4/2026











