Rakyat resah, Menteri empuk di kerusi lembut pejabat

Pemimpin kerajaan tiada empati rakyat terkesan harga diesel naik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dibidas kerana melabel tindakan menular laporan berita mengenai 329,000 juta tong diesel dari Malaysia tiba ke Filipina sebagai ‘dosa jariah’.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, pemimpin kerajaan seharusnya tidak sekadar mengeluarkan reaksi retorik dari empuk kerusi lembut di pejabat, sebaliknya perlu memahami keresahan rakyat yang kini terbeban.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat menyifatkan kegagalan menangani isu kos diesel menyebabkan banyak aset berkaitan sektor itu kini terpaksa ‘dilupuskan’ atau dihentikan operasinya ekoran ketiadaan empati daripada pihak kerajaan.

“Ketahuilah wahai Menteri, berita tersebut bukan datang daripada netizen atau pempengaruh politik, tetapi ia dilaporkan oleh portal berita Philippines News Agency yang mempunyai pengikut seramai 705,000 di laman Facebook.

“Walaupun Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), PETRONAS dan Kementerian Kewangan (MOF) telah menafikan perkara itu, namun selagi pihak Filipina tidak mengeluarkan penafian rasmi, naratif mengenai diesel Malaysia disalurkan ke sana akan terus melukakan sanubari rakyat,” katanya.

Khairul Nadzir turut mengulas mengenai kebimbangan rakyat terhadap ‘krisis yang bakal berlaku’ seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Tegas beliau, menteri tidak seharusnya menuding jari kepada rakyat yang menyuarakan kebimbangan, sebaliknya perlu menguruskan krisis ekonomi dan emosi kepimpinan kerajaan dengan lebih bijak.

“Uruslah krisis ini dengan penuh kebijaksanaan, bukan dengan cara meletakkan segala bebanan dan kesalahan ke atas bahu rakyat semata-mata,” katanya lagi.

Isu penyeludupan diesel ke negara jiran menjadi hangat baru-baru ini selepas laporan media asing mendakwa terdapat bekalan bahan api dari Malaysia yang memasuki pasaran negara tersebut ketika rakyat tempatan sedang berdepan cabaran rasionalisasi subsidi. – HARAKAHDAILY 12/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -