Sultan Terengganu lantik Pemangku Raja

Sultan Mizan berkenan melantik Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja Terengganu di Istana Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melantik Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Shah Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai Pemangku Raja Terengganu berkuat kuasa 15 April ini.

- Advertisement -

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu Istana Syarqiyyah, Dato’ Azmal Azaddin berkata, pelantikan yang diadakan di Istana Terengganu itu dimasyhurkan dalam satu istiadat yang diadakan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

“Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, adalah dimaklumkan bahawa Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta Segala Jajahan Takluknya telah berkenan melantik Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Shah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu sebagai Pemangku Raja,” katanya dalam kenyataan.

Majlis Pemasyhuran Pelantikan Pemangku Raja tersebut telah berlangsung dengan penuh tertib dan istiadat di hadapan kenamaan, dif jemputan serta para pegawai kerajaan negeri.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut Azmal, pelantikan itu dibuat susulan Sultan Terengganu akan beristirahat daripada melaksanakan semua tugas serta atur cara rasmi atas nasihat pegawai perubatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, sambutan Hari Ulang Tahun Ke-64 Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang dijadualkan pada 26 April 2026 turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Semua istiadat, atur cara dan program berkaitan juga ditangguhkan,” katanya.

Untuk rekod, Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998 dan merupakan anakanda kedua daripada empat beradik.

Baginda mempunyai seorang kekanda dan tiga adinda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah (Tengku Puteri Utama Raja), Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az (Tengku Sri Setia Mahkota Raja), serta Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ (Tengku Puteri Daulath Raja).

Baginda mendapat pendidikan di Garden International School, Kuala Lumpur serta difahamkan melanjutkan pengajian di United Kingdom. – HARAKAHDAILY 12/4/2026

- Advertisement -