
ALOR SETAR: Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan seolah-olah hilang punca dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global yang kini memberi kesan serius kepada ekonomi negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kepimpinan negara dilihat tidak bersedia mendepani krisis, sedangkan rakyat semakin tertekan akibat kenaikan harga minyak yang drastik.
Beliau mempersoalkan kesediaan pemimpin untuk berkorban dan menunjukkan teladan, berbanding hanya mengulang skrip lama dengan menyarankan rakyat agar berjimat cermat.
“Adakah perbelanjaan kerajaan telah dipotong secara signifikan? Adakah elaun, kemewahan, dan pembaziran dalam kalangan kepimpinan tertinggi negara telah dikurangkan?” soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Haim menuntut kerajaan membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara ekoran risiko tinggi akibat konflik antarabangsa, termasuk ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra turut mempersoalkan keberadaan hasil penjimatan berbilion ringgit daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak.
“Mengapa kerajaan tidak mengembalikan sebahagian daripada penjimatan tersebut untuk menstabilkan harga minyak ketika rakyat sedang terhimpit? Penjimatan tanpa pengagihan semula kepada rakyat adalah satu kegagalan dasar,” tegasnya.
Mengulas mengenai kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang meningkat, beliau menyarankan agar sebahagian hasil tersebut disalurkan untuk subsidi bersasar minyak.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu kesal apabila kuota subsidi bagi individu yang layak dilaporkan dikurangkan daripada RM300 kepada RM200.
“Jika hasil cukai hanya menguatkan angka dalam laporan kewangan tanpa memberi kesan langsung kepada rakyat, maka dasar percukaian itu hilang nilai kemanusiaannya,” katanya yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Dalam pada itu, Dr Haim menegaskan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sewajarnya mempunyai simpanan strategik petroleum (strategic petroleum reserve) sebagai benteng menghadapi krisis.
Beliau mempersoalkan sama ada negara mempunyai simpanan mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan penggunaan bagi menstabilkan harga semasa krisis.
“Tiga tahun menerajui negara, di mana Pelan Pengurusan Krisis Negara? Kerajaan lebih gemar memberi respons retorik dan reaktif berbanding strategik serta proaktif,” bidas beliau.
Menurutnya, kegagalan menyediakan pelan mitigasi ekonomi dan komunikasi strategik yang jelas menunjukkan kelemahan kerajaan dalam mengurus risiko negara, sekali gus menghakis kepercayaan rakyat. – HARAKAHDAILY 12/4/2026











