Harga minyak naik: Rakyat tertekan, kerajaan diminta telus

Nurkhuzaini (tengah) bersama isteri bergambar dengan rakyat pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Gong Kemuntong.
- Advertisement -

BESUT: Kerajaan digesa lebih telus dalam menjelaskan kenaikan harga minyak yang didakwa semakin membebankan rakyat, terutama ketika kos sara hidup terus meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kenaikan harga bahan api tanpa penjelasan kukuh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia seharusnya mempunyai kelebihan dalam menstabilkan harga, bukannya berdepan kenaikan berterusan.

- Advertisement -

“Kita menghasilkan kira-kira 360,000 tong minyak sehari di Terengganu, jadi jelas negara tidak berdepan kekurangan bekalan. Sebab itu timbul persoalan, apa sebenarnya alasan kenaikan harga minyak ini?” Soalnya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Gong Kemuntong, di sini.

Beliau berkata, jika pengurusan tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, maka keputusan yang dibuat pasti memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Kalaulah kita tidak ada satu pengurusan untuk mendahulukan rakyat, apa guna pemimpin macam itu? “Yang kedua, yang disebut sebagai halangan di Teluk Hormuz. Sebenarnya pihak tuan rumah sendiri mengatakan bahawa untuk kapal Malaysia tidak ada caj. Kenapa itu dijadikan alasan?” Soalnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau membandingkan situasi Malaysia dengan Thailand yang tidak mempunyai sumber minyak sendiri, namun mampu menawarkan harga bahan api lebih rendah.

“Kita bandingkan dengan Thailand, mereka tidak ada sumber minyak, tetapi masih mampu menurunkan harga bahan api. Sedangkan di negara kita, diesel naik 70 sen dan petrol naik 40 sen baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, ia sekali gus memberi tekanan besar kepada rakyat, sehingga memaksa mereka mengurangkan perbelanjaan harian termasuk keperluan asas.

“Keadaan harga minyak sekarang bukan sahaja menghimpit rakyat hingga ke pintu rumah, malah sampai ke dinding rumah mereka sendir,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan supaya mengutamakan kebajikan rakyat serta memastikan setiap keputusan berkaitan harga minyak dibuat secara telus dan berhemah. – HARAKAHDAILY 13/4/2026

- Advertisement -