
BESUT: Cadangan penubuhan bank wakaf yang dikemukakan dalam sidang meja bulat Himpunan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu memerlukan penelitian menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkara itu perlu dilihat secara terperinci kerana melibatkan aspek peraturan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Penubuhan bank bukan sesuatu yang mudah, namun kita akan mulakan dari segi keperluan dan perancangan supaya apabila tiba masa sesuai, ia boleh direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, di sini.
Menurutnya, hasil perbincangan meja bulat yang melibatkan empat kluster utama telah merumuskan beberapa cadangan merangkumi aspek ekonomi, bahasa dan identiti budaya Alam Melayu.
Tambah beliau, Terengganu akan menjadi negeri perintis bagi pelaksanaan resolusi berkenaan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri SG4 dan seterusnya ke peringkat ASEAN termasuk Brunei, Indonesia dan Thailand.
“Kita sasarkan dalam tempoh dua tahun, sekurang-kurangnya ada perkembangan jelas atau pelaksanaan awal terhadap resolusi yang dicadangkan,” ujarnya.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, satu jawatankuasa khas turut akan ditubuhkan bagi memastikan setiap cadangan yang dipersetujui dapat dipantau pelaksanaannya secara berperingkat.
“Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan setiap resolusi RTD agar tidak sekadar menjadi cadangan tanpa tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan perpaduan ummah amat bergantung kepada sikap kepimpinan yang berjiwa besar dan bersedia bertolak ansur.
“Tanpa kesediaan pemimpin untuk berlapang dada dan mengurangkan ego, usaha penyatuan ini akan berdepan cabaran besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2026











