
KUALA TERENGGANU: PAS Negeri Terengganu menjemput seluruh lapisan masyarakat untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan berlangsung di Dataran Shahbandar pada Khamis, 16 April ini.
Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran program itu memberi penekanan kepada konsep keterbukaan dalam meraikan Aidilfitri bersama rakyat tanpa mengira latar belakang politik mahupun kedudukan sosial.
Menurut beliau, semua rakyat dianggap sebagai tetamu kehormat dalam majlis berkenaan, selaras dengan hasrat untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Bagi kami, semua rakyat adalah VIP. Jemputan ini terbuka kepada semua tanpa mengira parti politik, NGO, pegawai kerajaan, GLC serta seluruh lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, jemputan turut dibuka kepada semua parti politik tanpa mengira latar belakang sebagai usaha menyemarakkan semangat Aidilfitri yang mengutamakan perpaduan dan ukhuwah.
“Jemputan ini terbuka kepada semua parti tanpa mengira latar belakang. Semangat Aidilfitri adalah untuk menyatukan hati, mengeratkan silaturahim dan membina keharmonian,” katanya.
Beliau berkata, walaupun negara berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, penganjuran majlis itu tetap diteruskan sebagai tradisi tahunan yang dilaksanakan secara sederhana.
“Program ini dilaksanakan hasil sumbangan ahli-ahli PAS, dengan matlamat iaitu menggembirakan umat Islam, khususnya rakyat Terengganu.
“Memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan menikmati juadah dan mengeratkan ukhuwah antara masyarakat pelbagai lapisan.
“Sesungguhnya dalam keadaan kehidupan yang mencabar, keprihatinan bersama amat diperlukan, yang senang menyumbang, yang susah dapat merasai nikmat Allah SWT,” katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) berkata, pendekatan sederhana turut diterapkan dalam penganjuran tahun ini termasuk penjimatan kos, selain penumpuan kepada promosi digital bagi memastikan penyampaian maklumat lebih meluas.
“Sambutan pada tahun ini diadakan secara sederhana seperti biasa, dengan penjimatan kos dilaksanakan iaitu tiada persembahan khas, mengurangkan penggunaan banner dan billboard dan memberi tumpuan promosi melalui media sosial.
“Setiap kawasan dan dewan diminta menyediakan menu masing-masing, termasuk hidangan utama seperti nasi dan gulai daging kawah,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan tersebut yang bukan sekadar jamuan, tetapi simbol kebersamaan dalam meraikan kemenangan selepas Ramadan.
“Kami dengan penuh rasa hormat menjemput seluruh rakyat untuk hadir memeriahkan majlis ini.
“Jangan segan dan jangan malu untuk datang. Kehadiran anda bukan sekadar untuk menikmati jamuan, tetapi sebagai tanda kebersamaan dalam meraikan kebaikan dan ukhuwah.
“Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita di bulan Ramadan dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang istiqamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2026











