
AYER KEROH: Sambutan Hari Raya PAS Pusat 2026 di Melaka menjadi detik bersejarah apabila julung kali dianjurkan di negeri itu sejak Parti Islam Se-Malaysia diasaskan di Masjid Tanah pada 1957.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, penganjuran itu memberi peluang kepada rakyat negeri ini untuk berhimpun serta mengeratkan hubungan dalam suasana penuh muhibbah.
Menurutnya, program berkenaan menjadi medan untuk saling mengenali antara satu sama lain termasuk mendekati pimpinan parti.
“Program ini memberi peluang kepada seluruh rakyat negeri Melaka untuk berhimpun bersama-sama, saling kenal mengenal dan mengikat silaturahim antara pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama, sosial dan asal-usul,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat 2026 di D’ Village Resort, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Jasin itu turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PAS Pusat kerana memberi kepercayaan kepada negeri itu sebagai tuan rumah program berkenaan.
Terangnya, Melaka yang diasaskan pada tahun 1400 merupakan negeri yang menjadi titik pertemuan pelbagai bangsa dan tamadun sejak dahulu lagi.
“Melaka menjadi tempat pertemuan pelbagai bangsa yang berhubungan antara satu sama lain, menjalankan perniagaan serta membina sebuah tamadun yang gemilang,” ulas beliau.
Menurutnya, walaupun negeri itu pernah dijajah selama 446 tahun, Melaka tetap menjadi contoh dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni.
“Namun lambang dan contoh yang ditinggalkan oleh negeri ini kepada negara dan kepada rakyat negara ini sebagai sebuah negeri yang menyatukan pelbagai latar belakang dalam satu hubungan yang muhibbah, yang rapat dan mesra.
“(Juga) Bersama-sama membina tamadun, membina negara, membina kebaikan yang menjadi sebagai pengisian kemaslahatan kehidupan insan pada tahap kemanusiaan yang tertinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











