
AYER KEROH: Program Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan PAS bertujuan memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang di negara ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penganjuran program itu menjadi platform untuk merapatkan hubungan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan adat resam.
“Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian, PAS adalah sebuah parti yang meraikan kepelbagaian ini,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat 2026 yang diadakan di D’Village Resort, di sini hari ini.
Takiyuddin turut merakamkan penghargaan kepada PAS Negeri Melaka yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran program tahunan berkenaan.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan daripada PAS Negeri Melaka yang menjadi tuan rumah kepada program tahunan kita bagi tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke majlis itu yang mengetengahkan hidangan tradisi negeri berkenaan.
“Bagi pihak PAS Pusat, saya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke rumah terbuka yang diadakan di negeri Melaka yang menghidangkan hidangan tradisi orang Melaka iaitu asam pedas tetel,” katanya.
Menurutnya, majlis berkenaan mendapat keberkatan serta dapat terus mengeratkan hubungan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.
“Semoga majlis ini mendapat keberkatan dan akan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan kita. Insya-Allah mudah-mudahan tahun depan kita akan berjumpa lagi di satu tempat yang akan ditentukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











