
AYER KEROH: Kerajaan tidak boleh menyalahkan pihak luar atau konflik antarabangsa sebagai punca tekanan ekonomi yang dihadapi ketika ini, sebaliknya perlu melihat kepada keupayaan mengurus sumber sendiri.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia mempunyai sumber dan hasil sendiri yang sepatutnya dimanfaatkan dengan baik.
“Kita tak boleh menyalahkan orang, tak boleh menyalahkan perang berlaku di Teluk kerana kita ada sumber kita sendiri, hasil kita sendiri,” ujar Tuan Guru.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat 2026 di D’ Village Resort, di sini hari ini.
Menurut Tuan Guru, rantau Asia Tenggara mempunyai jumlah penduduk yang besar serta sumber yang banyak, namun wujud kelemahan dalam pengurusan.
“Menunjukkan bahawa di sana ada tempat yang tak betul kerana pengurusan yang tak baik, pengurusan yang haram, rasuah, salah laku, bantuan subsidi rakyat tak sampai ke bawah, bocor di tengah jalan,” tempelak Tuan Guru.
Menurut beliau yang juga mantan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, kepimpinan yang tidak amanah dan gagal mengendalikan urusan dengan baik turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
Tuan Guru berkata, keadaan itu menyebabkan kegagalan dalam pemerintahan untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau berkata, sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia masih berada dalam kalangan negara membangun walaupun mempunyai sumber yang banyak.
“Padahal Malaysia punya hasil yang banyak, sumber yang banyak menunjukkan ada yang tak kena, ada yang salah,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini rakyat terus berdepan krisis ekonomi termasuk kenaikan harga bahan bakar yang membebankan.
“Dan sehingga hari ini pun rakyat dilanda oleh krisis ekonomi, harga bahan bakar dan sebagainya membebankan rakyat khususnya rakyat-rakyat miskin.
“(Termasuk) pemandu lori, petani, nelayan menggunakan diesel, harga diesel naik ditekan oleh masalah ekonomi,” terang Tuan Guru.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat pelbagai kaum untuk bersama-sama melakukan perubahan ke arah pemerintahan yang lebih adil.
“Maka kita nak memperkenalkan semula pemerintahan yang adil untuk semua ini. Kita mengajak rakyat semua kaum membuat perubahan bersama-sama dengan kita.
“Insya-Allah kita bersatu dalam Perikatan Nasional untuk mengambil alih pemerintahan negara insya-Allah bagi menyelesaikan masalah yang ditunjuk Allah dalam ajaran Islam yang boleh diterima oleh semua pihak,” seru Tuan Guru.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat memperkukuh hubungan silaturahim dan memikul tanggungjawab bersama.
“Selamat kita menjalinkan hubungan silaturrahim, hubungan persaudaraan sesama manusia dengan sebaik-baiknya. Sama-sama kita memikul tanggungjawab kita berada dalam satu kapal, satu bahtera.
“Kalau bahtera bocor, tenggelam, kita tenggelam sama-sama. Selamatkan bahtera ini supaya kita selamat sama-sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











