Inisiatif ringan beban rakyat jadi alat politik BN Pahang

PN Pahang desak agihan adil peruntukan RM15,000 kepada semua ADUN

- Advertisement -

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang mendesak Kerajaan Negeri agar menyalurkan peruntukan khas RM15,000 secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tanpa meminggirkan wakil rakyat blok pembangkang.

Pengerusi PN Pahang, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun pihaknya mengalu-alukan inisiatif tersebut bagi meringankan beban rakyat susulan krisis Asia Barat, namun mekanisme penyaluran yang diumumkan adalah mendukacitakan.

Beliau berkata, tindakan menyalurkan bantuan itu hanya melalui ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN menggambarkan Barisan Nasional (BN) Pahang masih mengamalkan politik kepartian ketika rakyat sedang dihimpit kesukaran hidup.

“Amalan sebegini bukan sahaja tidak menghormati mandat rakyat, malah menimbulkan persepsi bahawa bantuan kebajikan dijadikan alat kepentingan politik pihak pemerintah. Peruntukan itu sepatutnya disalurkan secara adil kepada semua ADUN yang dipilih oleh rakyat tanpa mengira ideologi politik,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini mengenai bantuan RM15,000 kepada setiap wakil rakyat bagi menangani kesan ekonomi dan kos sara hidup.

Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya mencontohi pendekatan Kerajaan Persekutuan pimpinan PN pada tahun 2020 yang menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tanpa diskriminasi ketika mendepani krisis COVID-19.

Tegasnya beliau selaku Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, kesempitan hidup yang dialami rakyat tidak mengenal warna parti, justeru khidmat bakti wakil rakyat juga tidak seharusnya dibatasi oleh jurang politik.

“Jika ada kebimbangan bahawa peruntukan sama rata akan menguatkan pembangkang, hakikatnya ketidakadilan itulah yang sering menimbulkan simpati rakyat terhadap kami (pembangkang).

“Sejarah membuktikan kerajaan yang gagal berlaku adil akhirnya akan dihukum oleh rakyat, sebagaimana pengalaman di beberapa negeri sebelum ini di mana tindakan menafikan hak wakil rakyat pembangkang hanya mencetuskan kemarahan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri segera memperbetulkan pendekatan tersebut demi memastikan keberkatan dalam pemerintahan dan menjamin kebajikan rakyat diutamakan melebihi kelangsungan kuasa politik. – HARAKAHDAILY 11/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -