
KUALA LUMPUR: Protes tercetus ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki adalah cerminan kegagalan kerajaan dalam menguruskan krisis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi negara.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Mohd Hafez Sabri, berkata tindakan provokatif sekumpulan anak muda sewaktu Azam berucap dalam sebuah program, tidak akan berlaku sekiranya kerajaan bertindak cekap dalam menegakkan tatakelola yang baik.
Beliau menyifatkan rasa tidak puas hati rakyat sebagai rentetan daripada pelbagai dakwaan serius yang masih membayangi Azam, termasuk isu pemilikan saham dan dakwaan rangkaian ‘mafia korporat’ yang kini menjadi perhatian media antarabangsa.
“Rasa tidak puas hati rakyat tidak muncul dalam vakum. Ia lahir kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM terus dibayangi pelbagai dakwaan serius yang sehingga kini terus menjadi bahan pertikaian awam. Kerajaan dilihat gagal membaca sentimen rakyat.
“Kerajaan juga gagal menjaga maruah institusi apabila membiarkan tokoh yang sedang diasak dengan isu integriti menjadi wajah utama kepada wacana berkaitan tadbir urus,” katanya merujuk protes di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 7 April lalu itu.
Menurut beliau, tajuk ucapan dibawa oleh Azam Baki dalam wacana tersebut iaitu “Memperkasa Integriti dan Tadbir Urus Melalui Kepimpinan dan Pendidikan” juga seperti ‘ketam menyuruh anak berjalan betul.
“Kerana seakan tiada kewajaran seorang tokoh yang sedang disaksikan dengan dakwaan integriti untuk dijadikan wajah utama kepada wacana seumpama itu,” bidasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.
Mohd Hafez turut mempersoalkan keputusan Perdana Menteri yang memilih untuk menyambung kontrak Azam Baki berulang kali meskipun kontroversi lama masih belum reda sepenuhnya.
Menurut beliau, situasi tersebut menimbulkan kebingungan memandangkan pihak yang menyambung kontrak berkenaan adalah individu sama pernah mendesak Azam direhatkan sewaktu berada di blok pembangkang sebelum ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Perak menambah, kemuncak kepada protes masyarakat sivil ini juga berpunca daripada kelewatan kerajaan memberi penjelasan telus berhubung laporan media antarabangsa, Bloomberg.
Laporan berkenaan antaranya mendakwa wujud arahan supaya siasatan melibatkan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador tidak diteruskan, selain laporan mengenai pemilikan 17.7 juta saham Velocity Capital bernilai kira-kira RM800,000 oleh Azam.
“Walaupun terdapat penafian rasmi, kegagalan kerajaan menutup isu ini dengan penjelasan yang telus hanya menambahkan krisis keyakinan rakyat,” jelasnya yang turut mengemukakan tiga tuntutan utama Pemuda PAS kepada kerajaan.
Pertama gesanya, supaya kerajaan menjelaskan tindakan terhadap dakwaan wujud campur tangan dalam siasatan membabitkan Farhash, dan kedua, mendedahkan hasil siasatan penuh berhubung pemilikan saham bernilai RM800,000 kepada umum.
“Ketiga, apakah status semasa siasatan terhadap dakwaan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan SPRM?” soalnya turut menegaskan, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan gerakan masyarakat sivil bagi memastikan kebenaran ditegakkan sekiranya kerajaan terus enggan bersikap telus dalam isu tersebut. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











