
TANGGA BATU: Program ‘Dapur Hijau’ yang menggalakkan orang ramai menanam sendiri tumbuhan makanan di mana sebelum ini telah dilaksanakan di negeri-negeri SG4 kini diperkenalkan di Negeri Melaka.
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut dirangka bertujuan untuk meningkatkan kadar keterjaminan makanan di negara ini.
“Program ini pada dasarnya dirangka untuk membudayakan pertanian bandar atau pertanian sara diri di bandar. Kita berikan ilmu dan kemahiran bagaimana untuk menggunakan kaedah penanaman seperti hidroponik dan fertigasi yang bersifat organik,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu menambah, kaedah-kaedah tersebut tidak memerlukan tanah seperti pertanian konvensional.
Dr Azman berkata demikian kepada Harakahdaily usai program Dialog Bersama Petani dan Pesawah serta Pelancaran Program Dapur Hijau LATAS Melaka bagi DUN Klebang dan DUN Pantai Kundor yang berlangsung di sini, semalam.
Tambahnya, walaupun program tersebut dilaksanakan di negeri yang diperintah Perikatan Nasional, namun konsep tersebut dikembangkan ke negeri-negeri lain di bawah LATAS melalui kerjasama wakil rakyat-wakil rakyat PN di negeri-negeri tersebut.
Tegas beliau lagi, pelaksanaan konsep Dapur Hijau sebenarnya boleh memanfaatkan sumber-sumber ada di sekeliling dan ia bukanlah sesuatu program yang memerlukan kos besar.
“Ia hanya perlukan kreativiti dan sedikit garis panduan untuk kita bantu dan yang penting ia dapat menjadi budaya. Bila rakyat ada kemahiran dan kesedaran tidak timbul soal peruntukan khusus.
“Kita harapkan gemanya akan merebak kepada rakyat dan beberapa ilmu-ilmu yang dikongsi bersama boleh dimanfaatkan di lapangan,” ujarnya.
Selain pelancaran ‘Dapur Hijau’, program tersebut juga bertujuan untuk menghimpunkan para petani dan pesawah bagi berkongsi pandangan, isu semasa serta memperkukuh pembangunan sektor pertanian setempat.
Dalam program turut dihadiri Ahli Jawatankuasa LATAS PAS Pusat tersebut, seramai 50 peserta menerima kit ‘Dapur Hijau’ yang mengandungi benih sayur, baja serta panduan penanaman sumbangan Pejabat Exco Pertanian Kelantan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang juga Ketua Penerangan PN Melaka turut mengalu-alukan langkah LATAS memperkenalkan konsep Dapur Hijau ke Melaka.
Menurut beliau, ia bertepatan dengan situasi semasa yang menyaksikan berlaku krisis harga dan bekalan makanan akibat kenaikan harga minyak berpunca dari Perang Teluk.
“Saya lihat program ini diusahakan Pengerusi LATAS PAS Melaka, Jamaruddin Ahmad suatu yang sangat penting. Dalam program ini juga kita dapat berdialog dengan petani dan pesawah yang kini sedang terkesan isu petrol dan diesel,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.
Jelas beliau, terdapat lebih 1,000 hektar sawah di Melaka di mana 700 hektar darinya berada di dalam Parlimen Tangga Batu.
“Walau pun kita tak dapat peruntukan tetapi saya sebagai Ahli Parlimen sentiasa membawa masalah petani dan pesawah untuk dibahas di Parlimen. Kita juga pernah bawakan permohonan-permohonan infrastruktur oleh nelayan kepada Menteri dan banyak yang telah pun diluluskan,” katanya.
Turut berucap ialah Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail yang juga Timbalan Pengerusi LATAS.
LATAS PAS Pusat turut mengadakan mesyuarat jawatankuasa di sebelah malam di situ sebagai mengambil sempena program Jamuan Hari Raya PAS Pusat yang berlangsung di Melaka, hari ini. – HARAKAHDAILY 11/4/2026












