Memugar kedaulatan sumber negara: Menilai semula rasional harga minyak

- Advertisement -

KENYATAAN YB Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS bahawa Malaysia tidak mempunyai sebab munasabah untuk menaikkan harga minyak domestik wajar dinilai secara objektif dan berasaskan realiti semasa. Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, isu ini bukan lagi sekadar soal pelarasan harga, tetapi menyentuh persoalan yang lebih besar iaitu sejauh mana negara mengurus sumber strategiknya untuk melindungi rakyat.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak dan gas, Malaysia sebenarnya berada dalam kedudukan yang cukup strategik. Hasil petroleum telah lama menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan. Maka, asas perbahasan bukan lagi soal kemampuan, tetapi soal pilihan dasar yang diambil oleh kerajaan. Persoalannya, mengapa harga domestik perlu terikat sepenuhnya kepada turun naik pasaran global sedangkan negara mempunyai kelebihan untuk mengurusnya secara lebih seimbang?

Pendekatan semasa yang terlalu bergantung kepada harga pasaran dunia menimbulkan beberapa kelemahan yang ketara. Ia mengabaikan hakikat bahawa banyak negara pengeluar lain mengambil langkah membezakan harga eksport dan domestik demi melindungi ekonomi tempatan. Pada masa yang sama, naratif bahawa kerajaan ‘tiada pilihan’ mencerminkan kekangan dalam inovasi dasar, sedangkan kedaulatan ekonomi menuntut keupayaan membuat keputusan strategik yang berpihak kepada rakyat. Lebih membimbangkan, isu ketirisan seperti penyeludupan dan manipulasi subsidi masih belum ditangani secara menyeluruh. Dalam keadaan ini, kenaikan harga hanya memindahkan beban kepada rakyat tanpa menyelesaikan punca sebenar.

Kesan daripada pendekatan ini dapat dirasai secara langsung. Ini diakui sendiri Perdana Menteri hari ini bahawa Malaysia perlu berdepan dengan situasi kenaikan kos sara hidup yang mendadak. Inilah yang ditegaskan oleh semua pihak seawal kenaikan harga diesel bulan lepas lagi iaitu apabila harga bahan api domestik terlalu terdedah kepada turun naik global, kos pengangkutan dan harga makanan turut menjadi tidak stabil. Tekanan ini akhirnya ditanggung oleh isi rumah, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang berdepan dengan kenaikan kos hidup secara berulang setiap kali berlaku kejutan harga dunia.

Sehubungan itu, bagi memastikan kedaulatan sumber negara benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, beberapa tuntutan utama perlu diberi perhatian dan dilaksanakan secara serius:

- Advertisement -

1. Kerajaan mesti memperkenalkan sistem harga dua lapisan yang membezakan antara harga domestik dan harga pasaran global bagi menstabilkan kos hidup rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.

2. Pelaksanaan subsidi bersasar berasaskan data perlu diperkasakan sepenuhnya melalui integrasi sistem seperti MyKad dan PADU agar bantuan sampai tepat kepada golongan yang layak serta menutup ruang ketirisan.

3. Kapasiti penapisan tempatan perlu diperkukuhkan secara agresif bagi meningkatkan kawalan terhadap harga runcit bahan api serta mengurangkan kebergantungan kepada import produk bertapis.

4. Kerajaan wajib membanteras ketirisan secara sistemik melalui penggunaan teknologi pemantauan, penguatkuasaan rentas agensi dan kawalan rantaian bekalan yang lebih ketat bagi mengekang penyeludupan bahan api.

5. Satu dasar kedaulatan tenaga yang menyeluruh perlu dirangka, yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan berkaitan pengurusan sumber petroleum negara.



Selain itu, inilah masanya yang sesuai untuk Malaysia turut perkenalkan skim BUDI kepada pengguna diesel. Letaklah nilai yang munasabah terutama bagi meringankan sedikit beban kepada pengguna biasa kenderaan diesel yang menggunakannya untuk tujuan pengangkutan keluarga.

Inilah juga masanya kerajaan memansuhkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta setahun untuk setiap ahli parlimen kerajaan. Tiada sebab lagi untuk mengekalkan peruntukan ini sedangkan rakyat diminta berjimat cermat. Sekiranya ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak diberikan peruntukan pun boleh berkhidmat tanpa peruntukan, adakah ahli-ahli parlimen kerajaan tidak mampu melakukan demikian? Saya yakin, jika peruntukan RM3.8 juta untuk setiap ahli parlimen kerajaan ini dimansuhkan dengan jumlah keseluruhan kira-kira setengah billion, lebih banyak manfaat dapat dicurahkan kepada rakyat.

Jika tuntutan-tuntutan ini tidak dilaksanakan, Malaysia berisiko terus terperangkap dalam kitaran kenaikan kos sara hidup setiap kali berlaku kejutan harga global. Dalam jangka panjang, keadaan ini bukan sahaja menekan rakyat, malah boleh menjejaskan daya saing ekonomi negara secara keseluruhan.

Hakikatnya, Malaysia tidak kekurangan sumber atau kepakaran. Apa yang diperlukan ialah kejujuran dan keberanian dalam merangka dasar yang benar-benar berpihak kepada rakyat. Dalam hal ini, pilihan yang ada bukan antara idealisme dan realiti, tetapi sama ada kita mahu terus mengurus tekanan, atau mula membina ketahanan ekonomi yang sebenar.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 10/4/2026

- Advertisement -