
MAKKAH, Arab Saudi: In Saff Travel (Cawangan Shah Alam) melakar inisiatif bermakna apabila menganjurkan program umrah khas melibatkan jemaah orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada awal Ramadan 1447H lalu menerusi pakej 12 Hari 10 Malam.
Bertemakan Pertis In Saff Menuju Taqwa, Ihsan dan Redha (PINTAR), program ini melibatkan seramai 63 peserta yang berlepas dengan penerbangan pada 13 Februari menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Rombongan tersebut terdiri daripada enam petugas, 45 ahli dan sukarelawan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), termasuk 27 jemaah OKU penglihatan, serta 12 peserta awam.
Penasihat In Saff Cawangan Shah Alam, Ahmad Najmi Sadali berkata, program ini dirangka khusus bagi memberi peluang kepada golongan OKU penglihatan merasai pengalaman menunaikan ibadah umrah dalam suasana lebih tersusun dan mesra keperluan mereka.
“Sepanjang 12 hari perjalanan, para jemaah menghabiskan lima malam di Makkah Al-Mukarramah dengan menunaikan ibadah umrah sebanyak tiga kali serta ziarah sekitar termasuk ke Hudaibiyah menelusuri sejarah.
“Lima malam berikutnya jemaah di Madinah Al-Munawwarah bagi menyambut suasana Ramadan di Masjid Nabawi,” katanya dalam rombongan turut disertai Yang Dipertua PERTIS, Mohammad Faizal Che Yusof.
Faizal yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kerjasama strategik bersama In Saff Travel untuk kali kedua itu, selepas kejayaan penganjuran pertama melibatkan jemaah tajaan sepenuhnya pada tahun lalu.
“Untuk kali ini, terdapat permintaan dalam kalangan ahli yang berkemampuan, tetapi berasa gusar untuk menyertai kumpulan jemaah biasa. Dari situ tercetusnya idea untuk menganjurkan program ini secara lebih inklusif,” jelasnya.

Beliau memaklumkan In Saff Travel Cawangan Shah Alam dipilih selepas melalui proses saringan di mana daripada keseluruhan jemaah PERTIS terlibat, enam peserta merupakan penerima tajaan, manakala selebihnya menanggung kos sendiri.
Rombongan dua bas diketuai wakil Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Abdul Razak Mohamed dibantu dua mutawif serta lima petugas khas, selain pasukan operasi In Saff di Makkah dan Madinah.
Sepanjang program, para jemaah bukan sahaja melaksanakan ibadah umrah dan ziarah, malah turut disajikan dengan pengisian rohani yang disampaikan oleh Tetamu Khas iaitu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Antara pengisian istimewa termasuk semasa sesi makan malam nasi kabsah anak unta di Muzdalifah serta perkongsian di tapak bersejarah peperangan Badar oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang turut menyertai rombongan.
Dalam masa sama, beliau turut menyantuni para jemaah dengan mengedarkan duit raya kepada semua jemaah OKU penglihatan serta para pengiring, sekali gus menyemarakkan lagi suasana Ramadan di Tanah Suci.
Program menyaksikan betapa kekangan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kesempurnaan ibadah, malah dengan sokongan berstruktur dan kerjasama pelbagai pihak, golongan OKU turut mampu menikmati pengalaman spiritual yang mendalam.
Melihat kepada kejayaan kali ini, pihak penganjur tidak menolak kemungkinan untuk menjadikannya sebagai program berkala pada masa hadapan menerusi kesinambungan PINTAR 2.0 dan seterusnya.
In Saff Travel dalam harapannya mahu memperluaskan lagi peluang kepada golongan OKU penglihatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci menerusi program sedemikian. – HARAKAHDAILY 10/4/2026













