Jangan korbankan keadilan sosial demi meritokrasi

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sistem pendidikan yang adil tidak wajar dinilai semata-mata berasaskan meritokrasi, sebaliknya perlu mengambil kira latar belakang sosioekonomi, jurang fasiliti antara sekolah bandar dan luar bandar serta tahap akses kepada pendidikan tambahan.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, realiti tersebut menyebabkan wujud ketidakseimbangan persaingan apabila pelajar dari kawasan pedalaman terpaksa bersaing dalam kondisi sama dengan pelajar di bandar.

“Dasar yang tidak meneliti realiti ini hanya akan membina dan melebarkan lagi jurang pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung jaminan tempat dalam Program Matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, walaupun kecemerlangan setiap pelajar wajar diraikan tanpa mengira kaum, perubahan dasar yang besar tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa atau bersifat populis tanpa kajian mendalam.

“Langkah ini tidak boleh dilihat sebagai respons kepada tekanan politik pihak tertentu semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Aubidullah menegaskan naratif mengenai kuota Bumiputera perlu diperbetulkan kerana ia bukan satu bentuk diskriminasi, sebaliknya berfungsi sebagai pelindung kepada kelompok yang masih ketinggalan secara sistemik.

“Program Matrikulasi sejak awal dirangka sebagai instrumen keadilan sosial bagi membantu anak-anak Bumiputera, khususnya daripada golongan B40 dan M40, melangkah ke institusi pengajian tinggi.

“Jika kemasukan disamaratakan sepenuhnya berdasarkan merit gred, fungsi asal institusi ini akan terhakis,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan bahawa tekanan politik tidak wajar menjadi penentu hala tuju dasar pendidikan negara kerana ia berpotensi menjejaskan pembangunan modal insan serta sistem keadilan sosial dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar kerajaan mengekalkan kuota 90:10 dalam kemasukan Matrikulasi, namun memperketatkan saringan berdasarkan data sosioekonomi bagi memastikan manfaat benar-benar sampai kepada golongan Bumiputera yang memerlukan.

Dalam masa sama, katanya, bagi memberi ruang kepada pelajar cemerlang bukan Bumiputera, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran memperluaskan tawaran alternatif berkualiti seperti program Asasi di universiti awam terpilih serta memperkasakan laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan tawaran biasiswa penuh.

“Kerajaan juga sebelum ini telah menyediakan pelbagai inisiatif termasuk sumbangan dan pelepasan cukai kepada kolej swasta, yang turut membuka lebih banyak peluang pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang pindaan terhadap dasar kemasukan ke institusi kritikal seperti Matrikulasi perlu melalui penilaian sebuah jawatankuasa bebas yang dianggotai pakar pendidikan, bukan ditentukan oleh ahli politik.

“Jadikan data, ihsan dan keadilan sosial sebagai kompas utama dalam memandu sistem pendidikan negara, bukan sekadar memenuhi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.

Terdahulu, Program Matrikulasi diperkenalkan sebagai salah satu laluan persediaan ke universiti awam dengan matlamat memperkukuh akses pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar lepasan SPM.

Pelaksanaannya sejak akhir 1990-an turut menjadi sebahagian daripada dasar pendidikan negara yang cuba menyeimbangkan antara meritokrasi dan keperluan ekuiti sosial, khususnya bagi kumpulan yang berdepan kekangan sosioekonomi dan akses pembelajaran. – HARAKAHDAILY 10/4/2026

- Advertisement -