
AYER KEROH: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, Melaka merupakan negeri yang paling banyak dijajah oleh pelbagai kuasa asing termasuk Portugis, Belanda, Jepun dan British.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, meskipun melalui pelbagai penjajahan, namun cahaya Islam di Melaka tidak pernah padam dan tidak boleh dihapuskan.
“Walaupun orang Islam dalam keadaan lemah, tapi pegangan orang Melaka terhadap Islam sangat kuat. Maka (mereka) terus menjadi penganut Islam yang ramai di Melaka ini,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Naib Ketua Ulama Islam Sedunia berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka PAS Pusat 2026 di D’ Village Resort, di sini hari ini.
Tuan Guru turut menyatakan Islam pernah menguasai Melaka yang bersejarah di mana Islam datang ke Melaka secara damai dan seterusnya menubuhkan Kerajaan Islam yang terkenal.
Katanya, Raja Melaka pada awalnya bukan beragama Islam, namun memeluk Islam selepas mendengar mengenai ajaran itu dan tidak dipecat.
“Raja Melaka (pada awalnya) bukan Islam. Bila mendengar tentang Islam, Raja Melaka masuk Islam dan Raja Melaka tak dipecat terus jadi raja kerana pengaruhnya dan kesediaannya untuk melaksanakan Islam di Melaka ini,” ceritanya.
Beliau berkata, apabila Islam dilaksanakan di Melaka dengan adil dan sultan dipandu oleh ulama, pemerintahan berjalan dengan adil.
Menurut Tuan Guru, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat memeluk Islam, sementara masih terdapat rakyat bukan Islam yang kekal dengan agama masing-masing, menunjukkan Islam tidak memaksa penganut agama lain.
“Apa yang menarik, Islam bertapak dengan tunjang yang kuat di Melaka ini. Apa yang penting kita kena menghidupkan semula kejayaan yang dicapai ini.
“Kita memilih Melaka untuk sambutan hari raya dan kita memilih Malaysia yang mengandungi masyarakat majmuk, berbagai bangsa dan agama untuk memperkenalkan Islam adil untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2026











