Perlu langkah konkrit bagi lindung sektor ekonomi kritikal

Kerajaan diingat agar tidak lewat bertindak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan agar segera melaksanakan langkah konkrit bagi melindungi sektor ekonomi kritikal, khususnya sekuriti makanan negara yang kini terancam susulan kenaikan harga diesel.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius rintihan golongan pesawah yang kini terbeban dengan peningkatan ketara kos operasi merangkumi kerja membajak, pam air, penuaian serta pengangkutan hasil.

- Advertisement -



Menurut beliau, data daripada Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menunjukkan petani mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap peningkatan kos bajak dan tuai yang melebihi 50 peratus.

“Peningkatan kos keseluruhan termasuk baja dan racun sehingga 65 peratus bakal meningkatkan risiko kelewatan musim penanaman, pengurangan keluasan tanaman dan kemerosotan pengeluaran padi tempatan.

“Perkembangan ini berpotensi menjejaskan keselamatan makanan negara, sekali gus meningkatkan kebergantungan kita kepada bekalan import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin turut menarik perhatian mengenai trend penurunan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara yang mencatatkan 56.2 peratus pada 2023 dan 52.9 peratus pada 2024, berbanding sasaran asal kerajaan sebanyak 75 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata, tekanan kos berkenaan bukan sahaja menghimpit sektor pertanian, malah turut dirasai oleh sektor logistik, pembinaan, perladangan, perikanan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan memberi kesan rantaian kepada harga barangan di pasaran.

Katanya, walaupun ketidaktentuan global dan konflik geopolitik di Asia Barat menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk kerajaan lewat bertindak.

“Kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor kritikal, memperluas bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil serta menyediakan sokongan kos input bagi mengelakkan gangguan musim penanaman.

“Langkah lain yang perlu dipertimbangkan termasuklah potongan cukai kepada industri terkesan selain mengadakan libat urus segera bagi merangka langkah mitigasi yang berkesan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tambah beliau, rakyat kini sudah cukup terbeban dengan tekanan kos sara hidup berterusan ekoran pelarasan tarif elektrik dan kenaikan harga gas industri yang melonjak melebihi 20 peratus.

Tegasnya, kegagalan kerajaan untuk bertindak segera berisiko memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan harga makanan, kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negara secara keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 11/4/2026

- Advertisement -