Lindungi pesawah, perkukuhkan keterjaminan makanan negara

- Advertisement -

LAJNAH Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar (LATAS) PAS memandang serius tekanan yang sedang dihadapi oleh para pesawah di seluruh negara susulan peningkatan kos pengeluaran, khususnya akibat kenaikan harga bahan api dan diesel. Dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar serta ketidaktentuan geopolitik dunia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan, kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan bersifat sementara, umum atau sekadar meredakan keresahan tanpa penyelesaian tuntas.  Isu pesawah hari ini bukan isu kecil. Ini ialah isu keselamatan makanan negara.

LATAS mendesak agar kerajaan mendengar suara pesawah yang semakin terhimpit dan mengambil tindakan yang segera. LATAS melahirkan kerisauan terhadap masa depan keterjaminan makanan apabila ada dalam kalangan mereka mula meluahkan kebimbangan bahawa mereka tidak lagi mampu menanggung kos mengusahakan sawah. Malah lebih membimbangkan ada diantara mereka mempertimbangkan untuk mengurangkan musim penanaman atau meninggalkan terus sektor ini. Jika pesawah terus dihimpit tanpa pembelaan yang bersungguh-sungguh, negara bakal berdepan risiko kemerosotan bekalan domestik yang jauh lebih parah pada masa akan datang.

Padi ialah makanan asasi rakyat Malaysia dan bukan sekadar komoditi dagangan. Ia merupakan tunjang kepada kestabilan sosial, ekonomi dan kesejahteraan negara. Terdapat lebih 200,000 pesawah di seluruh negara, khususnya di kawasan jelapang utama seperti Kedah dan Perlis dan kawasan lain. Justeru, sebarang dasar yang melemahkan kedudukan pesawah bukan sahaja menjejaskan pendapatan golongan pengeluar makanan, malah menggugat daya tahan negara dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi, stabil dan mampu dimiliki oleh rakyat.

Data yang ada juga menunjukkan sektor padi negara masih belum berada pada tahap yang kukuh. Pengeluaran padi negara pada tahun 2023 direkodkan sekitar 2.175 juta tan metrik, menurun berbanding 2.282 juta tan metrik pada tahun 2022. Dalam masa yang sama, purata hasil padi negara kekal sekitar 3.5 hingga 3.9 tan sehektar. Sebenarnya kawasan jelapang berpotensi menghasilkan antara 5 hingga 7 tan padi sehektar sekiranya pesawah memperoleh sokongan yang mencukupi, ekosistem pengeluaran yang lebih adil, serta kos input yang munasabah. Fakta ini menunjukkan bahawa masalah sebenar sektor padi bukan semata-mata soal produktiviti, tetapi berkait rapat dengan kelemahan dasar, tekanan kos dan ketidakadilan struktur rantaian bekalan.

Realiti di peringkat sawah jauh lebih menekan daripada yang sering digambarkan. Kos mengusahakan sawah kini dilaporkan mencecah sekitar RM5,500 sehektar bergantung kepada jenis tanah, lokasi dan tahap mekanisasi. Ini meletakkan kos pengeluaran padi sekitar RM1,500 bagi setiap tan metrik atau lebih. Maka harga lantai semasa pada kadar RM1,500 setan metrik pada hakikatnya hanya menyamai kos pengeluaran tanpa memberi ruang keuntungan yang munasabah kepada pesawah. Dalam erti kata lain, pesawah menanggung kerja berat sepanjang musim, berhadapan risiko banjir, kemarau, penyakit tanaman dan ketidaktentuan hasil, tetapi pada akhirnya hanya pulang modal atau menanggung kerugian tersembunyi yang tidak diambil kira secara adil dalam perbincangan dasar.

Inilah persoalan besar yang mesti dijawab oleh kerajaan. Bagaimana negara mahu bercakap soal keterjaminan makanan, tetapi pada masa yang sama membiarkan pesawah terus beroperasi dalam margin yang terlalu rapuh? Bagaimana negara mahu memperkukuh pengeluaran domestik jika pengeluar tempatan sendiri gagal menikmati pulangan yang adil? Hakikatnya, tidak ada jaminan makanan tanpa pesawah yang mampu bertahan. Tidak ada kedaulatan beras jika pengeluar tempatan terus dipaksa menyerap kenaikan kos tanpa perlindungan yang setimpal.

Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila kadar sara diri beras negara pada tahun 2023 hanya sekitar 56.2 peratus. Ini bermakna hampir separuh keperluan beras negara masih bergantung kepada import. Pergantungan sedemikian meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang rapuh, terutama apabila pasaran global berdepan gangguan bekalan, sekatan eksport, konflik serantau dan turun naik harga antarabangsa. Dalam situasi begini, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan mutlak kepada pengukuhan pengeluaran domestik, bukannya membiarkan pesawah tempatan terus dihimpit oleh dasar yang tidak selari dengan realiti kos sebenar.

Sehubungan itu, LATAS mendesak kerajaan mengambil tindakan segera, berani dan menyeluruh.

Pertama, kerajaan perlu menyemak serta melaras harga asas padi secara berperingkat dan munasabah agar benar-benar selari dengan kos sebenar pengeluaran semasa. Ini bukan tuntutan untuk keuntungan berlebihan, tetapi satu keperluan minimum bagi menjamin kelangsungan hidup pesawah serta memastikan mereka terus mempunyai insentif untuk menanam padi.

Kedua, kerajaan mesti memperkukuh bantuan bersasar kepada pesawah kecil, khususnya dalam bentuk subsidi input pertanian, bantuan diesel pertanian, sokongan mekanisasi, penyelenggaraan infrastruktur sawah dan insentif pengeluaran yang benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran. Pesawah kecil tidak boleh terus dibiarkan menanggung kesan dasar fiskal secara bersendirian sedangkan merekalah benteng utama dalam menjamin bekalan makanan negara.

Ketiga, reformasi menyeluruh terhadap tadbir urus rantaian nilai padi dan beras mesti dilaksanakan segera. Manfaat daripada sebarang bantuan, subsidi atau pelarasan harga tidak boleh terus bocor di peringkat orang tengah, pengilang atau pihak tertentu yang mengaut laba berlebihan, sedangkan pesawah terus berada dalam keadaan tertekan. Sektor padi dan beras memerlukan sistem yang lebih telus, cekap dan adil, dengan keutamaan diberikan kepada pengeluar sebenar di peringkat sawah.

Dalam masa yang sama, LATAS menegaskan bahawa membela pesawah tidak bercanggah dengan kepentingan pengguna. Kerajaan boleh dan mesti melaksanakan dasar yang seimbang, iaitu membela pesawah melalui pulangan yang adil, sambil melindungi pengguna berpendapatan rendah menerusi subsidi bersasar dan mekanisme kawalan harga yang berkesan. Apa yang diperlukan ialah keazaman politik untuk bertindak, bukan alasan untuk bertangguh.

PAS melalui LATAS akan terus istiqamah membawa suara pesawah, mendesak dasar yang lebih adil dan memastikan isu keterjaminan makanan negara tidak tenggelam dalam retorik pentadbiran.  Bagi kami, membela pesawah bukan isu sampingan. Ini ialah amanah negara. Pesawah ialah penjaga sebenar makanan rakyat. Jika mereka terus dihimpit, negara akhirnya akan menanggung akibat yang jauh lebih besar.

Kerajaan mesti bertindak sekarang. Menyelamatkan pesawah bererti mempertahankan makanan rakyat, kestabilan negara dan kedaulatan masa depan Malaysia.

“Membela pesawah bukan sekadar menjaga satu sektor ekonomi, tetapi mempertahankan maruah negara dan hak rakyat untuk menikmati bekalan makanan yang terjamin.”

YB DATO’ DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi
Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar (LATAS) PAS
12 April 2026 – HARAKAHDAILY 12/4/2026

- Advertisement -
- Advertisement -