
KUALA TERENGGANU: Kenyataan yang mengaitkan sokongan rakyat terhadap PAS di Pantai Timur dengan faktor bantuan asas seperti beras dan gula disifatkan sebagai tidak tepat serta memperlekeh kematangan pengundi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pandangan sedemikian adalah kesimpulan dangkal yang tidak mengambil kira realiti sebenar sokongan rakyat terhadap parti itu.
Menurutnya, walaupun pendekatan turun padang dan menyantuni rakyat menjadi antara kekuatan PAS, namun kemenangan besar parti itu dalam beberapa pilihan raya tidak boleh disandarkan kepada faktor kebajikan semata-mata.
“Jangan dikesampingkan bahawa mustahil PAS/PN boleh mengalahkan Umno/PH di Terengganu sehingga berkubur tanpa nesan dengan hanya bergantung kepada segmen pengundi di kampung-kampung,” katanya.
Menurut beliau, perlu dilihat analisa keputusan pilihanraya, antara Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang PAS menang besar sejak beberapa penggal lepas ialah di Kuala Terengganu, bukan di DUN luar bandar macam Jabi.
“Di sana ada segmen pengundi yang ingin melihat visi dan misi PAS untuk memimpin. Bagaimana perancangan PAS untuk membangunkan negeri dan ekonomi rakyat?
“Apa manifesto PAS? Siapa tokoh-tokoh pemimpin PAS yang diyakini dan berkemampuan untuk memimpin? Bagaimana imej yang dibawa oleh PAS dalam isu moral dan integriti kepimpinan serta banyak lagi,” jelasnya.
Justeru katanya, membuat kesimpulan bahawa pengundi memilih PAS hanya kerana beras dan gula, saya rasa ini adalah kesimpulan yang agak dangkal daripada seorang ahli akademik.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kandungan sebuah podcast yang menampilkan seorang profesor wanita yang membincangkan faktor sokongan pengundi Pantai Timur terhadap PAS.
Mengulas lanjut, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu mengingatkan agar semua pihak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan supaya tidak menyinggung sensitiviti pengundi.
“Saya tak pasti apa maksud tersirat Prof dengan kenyataan ini. Mungkin nak gambarkan PAS sebuah parti yang yang berpijak di bumi dan dekat dengan rakyat. Mungkin juga nak gambarkan, inilah sahaja mentaliti pengundi-pengundi yang memilih PAS. Mentaliti beras dan gula.
“Apa pun motif, saya terima secara positif kerana pihak luar mengakui bahawa PAS adalah parti yang sangat dekat dengan rakyat dan sentiasa membuka pintu untuk menyantuni rakyat
“Tapi janganlah pula seorang Prof juga berfikiran sama dengan calon yang kalah di Kulim Bandar Bharu yang pernah mengeluarkan kenyataan, pengundi PN terdiri dari mat motor dan orang yang berpendidikan rendah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026











