
KOTA BHARU: Pengusaha bas ekspres merayu kerajaan mempercepatkan kelulusan tambahan subsidi diesel bagi mengelakkan operasi perkhidmatan terjejas, khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, subsidi diesel yang diberikan kerajaan ketika ini sebanyak 6,000 liter bagi setiap bas sebulan tidak mencukupi kerana hanya mampu menampung penggunaan kira-kira 20 hari sahaja.
Menurutnya, baki penggunaan bagi tempoh 10 hari lagi terpaksa dibeli pada harga pasaran semasa iaitu RM6.72 seliter, sekali gus memberi beban besar kepada semua pengusaha bas ekspres.
“Memang untuk pengusaha-pengusaha bas ekspres seluruh Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak kita telah mendapat subsidi daripada kerajaan.
“Namun subsidi yang diberikan tidak mencukupi. Sebanyak 6,000 liter setiap bas bagi setiap bulan hanya cukup lebih kurang 20 hari Sahaja,” katanya kepada media pada Majlis Aidilfitri Konsortium E-Mutiara, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, ia bermakna lagi 10 hari terpaksa dibeli dengan harga semasa sekarang RM6.72.
“Itu memang sangat membebankan pengusaha-pengusaha bas ekspres,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak persatuan sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memohon kenaikan kuota subsidi.
“Persatuan mencadangkan subsidi ditambah daripada 6,000 liter kepada antara 8,000 hingga 10,000 liter sebulan supaya lebih sesuai dengan keperluan operasi sebenar,” katanya lagi.
Beliau juga memberitahu, tambang bas ekspres pula masih dikawal kerajaan dan tidak pernah dinaikkan sejak tahun 2008 walaupun kos operasi terus meningkat.
“Tambang bas ekspres sebenarnya tidak dinaikkan semenjak tahun 2008 lagi
“Saya bercakap ini bukan untuk kepentingan syarikat saya semata-mata, tetapi sebagai mewakili sahabat-sahabat dalam bidang bas ekspres ini,” tegasnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan sebahagian bas mungkin tidak dapat beroperasi menjelang Aidiladha sekiranya isu subsidi tambahan gagal diselesaikan segera.
“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan syarikat pengusaha malah menyukarkan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk pulang ke kampung,” ujar beliau.
Selain isu subsidi, ujar Che Ibrahim, pengusaha juga berdepan masalah catuan diesel di stesen minyak apabila kuota bekalan mingguan ditetapkan dan cepat habis.
Menurut beliau lagi, keadaan itu menyebabkan bas ekspres terpaksa mencari stesen lain untuk mendapatkan diesel, malah ada kalanya perlu membeli pada harga tanpa subsidi kerana kad fleet hanya boleh digunakan di rangkaian tertentu.
“Sebagai contoh kalau kita guna fleet card Petron ataupun Shell, tetapi bila sampai di stesen itu diesel sudah habis, kita terpaksa cari stesen lain.
“Kalau pergi ke stesen lain seperti Petronas, kad kita tidak boleh digunakan, walaupun subsidi masih ada dalam sistem, kita terpaksa beli dengan harga semasa sebab catuan berlaku,” kongsinya lagi.
Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat juga stesen minyak menerima pengurangan kuota bekalan sehingga separuh berbanding jumlah biasa.
Tambah Che Ibrahim, situasi tersebut meningkatkan risiko kekurangan diesel di sepanjang laluan perjalanan terutama bagi bas jarak jauh ke selatan tanah air.
“Masalah berkenaan kini dirasai hampir semua syarikat bas ekspres dan berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Tapi kalau keadaan ini berterusan terutama 10 hari terakhir setiap bulan, memang pemandu dan operasi akan berdepan masalah besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2026











