Erti takziah dan masa mengucapnya

- Advertisement -

Soalan:

Apakah erti ucap takziah ketika kematian dan bilakah waktunya?

- Advertisement -

Jawapan:

Erti takziah ialah ucapan yang diucapkan oleh orang yang mendengar berita musibah seperti kematian yang diucapkan kepada kaum keluarga yang kena musibah itu bertujuan menenangkan hati mereka dan menganjurkan mereka supaya bersabar dan seumpamanya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

هي أن يسلِّي أهل الميت ويحملهم على الصبر بوعد الأجر، ويرغبهم في الرضا بالقضاء والقدر، ويدعو للميت المسلم

Ertinya: “(Takziah) ialah ucapan bagi menyejukkan hati keluarga simati dan menjadikan mereka bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala dan menggalakkan mereka supaya reda dengan qadha dan qadar dan mendoakan mayat orang Islam.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Contoh ucapan takziah yang elok dibaca ialah “Semoga Allah membalas pahala atas musibah yang menimpa kamu sekalian” atau “Semoga Allah menjadikan kamu sekalian orang-orang yang sabar” atau “Semoga Allah mengampunkan mayat kamu ini” atau seumpamanya.

Dan waktu disunatkan mengucap takziah itu ialah bermula dari waktu matinya dan yang utamanya ialah dari waktu tanamnya sehingga tiga hari.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

وَتسن قبل دَفنه لِأَنَّهُ وَقت شدَّة الْجزع والحزن وَلَكِن بعده أولى لاشتغالهم قبله بتجهيزه

Ertinya: “Dan disunatkan takziah sebelum tanamnya kerana sungguhnya ialah waktu bersangatan sedih dan duka akan tetapi selepas tanam lebih utama kerana kesibukan mereka sebelumnya bagi penyediaan menguruskan jenazah.” (Kitab Al-Iqna’)

Adapun selepas tiga hari maka tidak disunatkan lagi ucap takziah melainkan orang yang baru mendapat berita kematiannya.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

وتكون إلى ثلاث ليال بأيامها، وتكره بعدها إلا لغائب، حتى لا يجدد له الحزن

Ertinya: “Dan adalah takziah itu sehingga tiga hari tiga malam. Dan dimakruhkan selepasnya melainkan bagi orang yang tidak hadir (ketika matinya) sehingga tidaklah diperbaharui akan kesedihannya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 9/4/2026

- Advertisement -