
KUALA LUMPUR: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah merupakan satu manifestasi penting dalam memperkukuh kesatuan umat Islam merentas sempadan negara, bangsa dan latar belakang.
Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, himpunan yang diadakan di Terengganu pada kali ini, bukan sahaja berjaya menghimpunkan para peserta dari dalam dan luar negara.
Bahkan katanya, membuktikan bahawa agenda perpaduan ummah tidak lagi bersifat tempatan, sebaliknya berkembang sebagai satu keperluan global dalam mendepani cabaran dunia masa kini.
“Dunia sekarang semakin mencabar, disusuli konflik geopolitik, tekanan ekonomi serta pelbagai bentuk serangan terhadap nilai-nilai Islam. Ijtimak ini tampil sebagai medan penting untuk menyatukan fikrah, memperkukuh ukhuwah.
“Serta menyelaras gerak kerja ummah di peringkat antarabangsa,” tegas Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu pada kenyataannya di sini.
Dalam masa yang sama, Ustazah Nuridah juga mengajak semua umat Islam menghayati Firman Allah SWT (Surah Ali ‘Imran:103) berkaitan kewajiban berpegang teguh pada tali Allah serta bersatu padu.
Kata beliau, pada ayat itu Allah mengingatkan umat Islam akan nikmat yang diberi-Nya, bersatu atas nama Islam setelah bermusuh-musuhan serta bercerai berai ketika jahiliyah dahulu.
“Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara.
“(Dan) kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah, lalu Allah menyelamatkan kamu dari neraka itu,” ulas beliau akan maksud ayat tersebut.
Beliau sekali gus menyarankan agar ia dijadikan asas dan pedoman kepada tuntutan perpaduan yang wajib dipelihara oleh seluruh umat Islam.
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, kali kelima diadakan bermula 2 hingga 4 April lalu ujarnya, bukan sekadar pertemuan, bahkan menjadi platform tarbiyah yang menyemai kesedaran.
Kekuatan umat Islam tegas beliau, hanya akan terbina melalui kesatuan saf, disiplin jemaah serta kesetiaan kepada prinsip perjuangan Islam dan ia juga bukannya satu pilihan, tetapi merupakan satu tuntutan.
“Tanpa kesatuan, umat Islam akan terus berada dalam keadaan lemah, terpinggir dan mudah dipengaruhi oleh agenda luar yang merosakkan.
“Justeru, semua pihak diseru agar menjadikan semangat ijtimak itu sebagai pemangkin untuk memperkukuh jemaah, mempererat ukhuwah serta mengelakkan perpecahan yang hanya akan merugikan ummah,” tambah mantan Ahli Dewan Negara itu lagi.
Oleh itu, beliau mengajak semua, khususnya umat Islam agar
beriltizam, bersama-sama bergerak satu rentak serta langkah, menyusun strategi dan istiqomah bagi merealisasikan resolusi yang telah dicapai dalam Ijtimak Antarabangsa kali ini.
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kelima yang diadakan di Kompleks Sukan Terengganu, Kuala Nerus, merupakan satu perhimpunan mega menyatukan ulama, tokoh kepimpinan dan budaya alam Melayu.
Bertemakan busana Melayu, klasik dan tradisional, program yang berlangsung selama tiga hari itu, menyediakan pelbagai pengisian rohani, intelektual, termasuk aktiviti santai.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama tiga lagi tokoh kepimpinan antarabangsa, antara pemidato yang menyampaikan ucapan pada perasmian ijtimak tersebut.
Terdahulu, Konvoi Motosikal Anak Muda SG4 yang disertai empat Menteri Besar iaitu dari Kedah, Terengganu, Kelantan serta Perlis diadakan dan mendapat sambutan memberangsangkan. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











