Anak PMX ‘melalak’ konvoi membazirkan petrol

Walhal PMX membazir minyak heli bercanda di awan

- Advertisement -

NURUL Izzah sejak jadi Timbalan Presiden PKR, entahlah apa yang dia buat. Tiba-tiba perkataan membazir dilontarkan kepada konvoi empat MB di Terengganu. Kalau hendak bercakap soal pembaziran dan moral politik, eloklah jangan sekadar memilih sasaran yang mudah diserang, tetapi menutup mata terhadap dosa yang lebih besar di depan mata sendiri. Inilah yang terpamer apabila Nurul Izzah Anwar konon lantang menghentam konvoi Perikatan Nasional di Terengganu kononnya membazir petrol, satu kenyataan yang bukan sahaja dangkal, malah memakan diri.

Pertama, kita harus tanya dengan jujur, apa sebenarnya yang dibazirkan? Konvoi motosikal yang disertai ribuan peserta itu menggunakan minyak yang ditanggung sendiri oleh penunggang. Dengan anggaran sekitar RM5 seorang untuk perjalanan pendek, ia bukan sahaja tidak membebankan negara, malah mencipta kesan ekonomi mikro kepada peniaga kecil di sepanjang laluan. Gerai-gerai tumbuh, orang ramai berhimpun, ekonomi setempat bernafas. Itu fakta, bukan persepsi.

Sebaliknya, dalam masa yang sama, ayah kepada Nurul Izzah sendiri, Anwar Ibrahim, dilihat menggunakan helikopter untuk penerbangan yang langsung tidak membawa manfaat jelas kepada rakyat. Bercanda di awan biru sekadar menjenguk Pulau Batu Puteh milik Singapura dari langit bersama Menteri Azalina, apa manfaat dan faedah kepada negara khususnya kepada rakyat? Jika benar anggaran kos mencecah ribuan ringgit sejam, maka dua jam ‘bersiar di awan’ bukan lagi isu kecil, itulah pembaziran wang negara secara terang-terangan. Di mana suara Nurul Izzah dalam hal ini? Mengapa tiba-tiba menjadi bisu apabila melibatkan darah daging sendiri?

- Advertisement -

Sepatutnya pemikiran sebagai Timbalan Presiden perlulah seluas langit sebaliknya disempitkan pemikiran dalam tangki motorsikal semuat 3 liter.

Inilah masalah utama politik hipokrit, berani menyerang lawan, tetapi gagal menegur kawan, apatah lagi keluarga sendiri. Sebagai Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah sepatutnya menunjukkan kematangan politik, bukan sekadar retorik murahan untuk meraih perhatian. Rakyat tidak bodoh untuk membezakan antara kritikan berasas dengan serangan bermotif politik sempit.

Lebih memalukan, ini bukan kali pertama beliau gagal menunjukkan ketegasan. Isu janji mahu menamatkan khidmat Azam Baki dahulu pun berakhir sebagai ‘tin kosong’. Banyak bercakap, kurang tindakan. Itu rekod yang rakyat lihat dan nilai.

Dalam masa sama, PKR sendiri sedang bergolak. Pergaduhan dalaman sebagaimana di Konvensyen Johor, isu disiplin dan rasuah sebagaimana Setpol PMX dan isu RM9.5 juta, dakwaan salah guna kuasa sehingga mengheret Mafia Korporat dan banyak lagi semuanya berlaku di depan mata. Sewajarnya sebagai Timbalan Presiden inilah tugas anda. Tetapi Nurul Izzah memilih untuk menyerang konvoi motosikal pembangkang. Ini bukan kepimpinan, ini escapism politik, lari daripada masalah sebenar atau lari dari isu dalaman dengan menyerang parti lawan lain. Dangkal sebagai pemimpin.

Lebih ironik, apabila isu jenayah dan keselamatan di Lembah Klang semakin membimbangkan, suara pemimpin PKR hampir tidak kedengaran. Isu gengsterisme, pukul, mabuk, serbu balai polis dan pelbagai lagi di Lembah Klang sehinggakan digelar Colombia 2. Rakyat bergelut dengan realiti harian, dengan hadap beban kos sara tinggi pada masa sama hidup dalam ketakutan tetapi pemimpin sibuk bermain persepsi. Ini jurang yang semakin melebar antara elit politik dan rakyat marhaen.

Akhirnya, persoalan besar timbul, jika Anwar Ibrahim gagal memimpin parti dengan stabil, dan Nurul Izzah pula gagal memainkan peranan sebagai timbalan yang berwibawa, maka ke mana arah tuju PKR? Harapan untuk melihat beliau sebagai pemimpin masa depan, apatah lagi calon Perdana Menteri wanita, kelihatan semakin jauh daripada realiti. Uruskan parti sendiri pun ke laut apatah lagi hendakkan rakyat memilih PKR dan PH sebagai kerajaan akan datang. Jangan harap.

Dalam politik, kredibiliti bukan dibina dengan slogan atau serangan populis. Ia dibina dengan konsistensi, keberanian menegur kawan sendiri, dan kejujuran kepada rakyat. Malangnya, dalam isu ini, Nurul Izzah jelas gagal memenuhi ketiga-tiga asas tersebut.

DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 7/4/2026

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1CQrTvshK5/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -