
KUALA NERUS: Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menyifatkan penyatuan umat Islam adalah asas utama bagi menyelesaikan pelbagai isu dunia Islam, termasuk konflik Palestin.
Beliau berkata, sejak Revolusi Islam Iran 1979, perpaduan umat menjadi panduan dalam pembentukan polisi dan tindakan bersepadu negara itu.
Menurutnya, Pengasas Republik Islam Iran, Imam Ruhollah Khomeini, meletakkan kesatuan pemikiran di kalangan umat Islam sebagai tiang asas pemikiran politiknya, termasuk melalui penganjuran Minggu Perpaduan setiap tahun bagi memperkukuh solidariti antara Sunni dan Syiah.
Nasrabadi berkata, dua halangan utama perpaduan umat Islam iaitu fahaman beragama yang melampau dan campur tangan dasar penjajah yang menimbulkan perpecahan.
“Isu Palestin adalah merupakan isu yang paling terkehadapan dalam dunia Islam telah diketengahkan sebagai asas untuk perpaduan di kalangan ummah.
“Ia bukanlah menjadi suatu rahsia umum
bahawa sebab utama tekanan daripada negara Amerika Syarikat dan Zionis Israel terhadap negara Republik Islam Iran ialah kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap nasib yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Palestin.
“Saya ingin tegaskan bahawa walaupun tekanan telah dikenakan selama 47 tahun ke atas rakyat dan kerajaan Iran, kami tidak pernah untuk seketika sekalipun goyah dan goncang atas sokongan kami terhadap Palestin,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu, di sini.
Beliau juga mengulas mengenai serangan rejim Zionis pada Jun 2025, yang menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa ribuan rakyat Iran, termasuk pelajar dan wanita.
“Melalui serangan yang terakhir mengakibatkan suatu kesan yang sangat mendalam sehingga memusnahkan 90,000 rumah kediaman, 307 kemudahan kesihatan, 760 buah sekolah dan mengakibatkan kan kesyahidan pada ribuan rakyat Iran termasuklah 234 pelajar-pelajar dan hampir 300 wanita semuanya.
“Republik Islam Iran telah menjawab dengan segala kekuatan dan kehebatannya walaupun ancaman yang kami hadapi, rakyat Iran sentiasa istiqamah mempertahankan sistem Islam mereka siang dan malam penuh keberanian,” ujarnya.
Nasrabadi turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap Republik Islam Iran serta penentangan terhadap serangan Zionis.
“Sokongan ataupun kecaman yang tegas daripada kita terhadap Amerika Syarikat dan serangan Zionis ke atas Republik Islam Iran akan senentiasa diingati dan terpahat di dalam sejarah hubungan yang baik di antara kedua-dua buah negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











