
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru orang ramai supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, khususnya ketika berdepan cuaca panas pada masa ini.
Beliau berkata, langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, di samping memastikan keselamatan diri, keluarga dan harta benda sentiasa terpelihara.
“Ujian ini amat berat, namun saya berharap semua mangsa diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya ketika melawat lokasi kejadian, semalam.
Menurutnya, berdasarkan taklimat pihak bomba, kebakaran dipercayai merebak dengan pantas akibat faktor angin kencang selain struktur rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.
“Tindakan pantas pihak bomba dengan kerjasama penduduk setempat berjaya mengawal api daripada terus merebak ke kawasan berhampiran,” katanya.
Terdahulu dalam kejadian tersebut, lapan buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di kawasan berkenaan.
Beliau turut melahirkan rasa dukacita melihat kediaman yang sebelum ini menjadi tempat berteduh kini musnah dalam kebakaran sehingga hanya tinggal abu.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan awal kepada mangsa sebagai usaha meringankan beban yang ditanggung.
Dalam kejadian Jumaat lalu, lapan rumah terbakar, manakala kira-kira 30 tong gas memasak hangus dan sebahagiannya meletup dalam kebakaran di Cabang Tiga Kedai Buloh, dekat sini.
Kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu merebak dengan pantas di kawasan kediaman padat yang kebanyakannya berstruktur kayu.
Sementara itu, Dato’ Dr Izani Husin yang sebelum ini telah melakukan lawatan ke lokasi kejadian turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga sebagai bantuan awal bagi menguruskan keperluan kecemasan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim, ADUN Kijang, Dato’ Dr Izani Husin serta Ketua Jajahan Kota Bharu, Rusydee Abdullah. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











