
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor digesa mengambil langkah lebih berani dan menyeluruh dengan menurunkan kadar sewa tapak penjaja dan premis perniagaan kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan mana-mana agensi berkaitan kerajaan negeri.
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar, berkata langkah tersebut adalah realistik, berperikemanusiaan dan amat diperlukan bagi memberi ruang bernafas kepada peniaga kecil yang sedang bergelut dengan tekanan ekonomi berpanjangan.
“Sejak kebelakangan ini, saya menerima pelbagai rungutan dan aduan daripada penjaja serta peniaga kecil di Selangor yang semakin tertekan dengan berkurangnya pendapatan kerana rakyat kurang berbelanja, perbelanjaan harian semakin menekan, manakala kadar sewa masih kekal membebankan,” katanya dalam kenyataan media di laman sosial, hari ini.
Beliau menegaskan, ramai peniaga kecil kini terpaksa bertahan dengan ruang keuntungan yang amat sempit.
“Golongan penjaja dan peniaga kecil bukan kelompok berpendapatan besar yang mempunyai daya tahan kewangan tinggi.
“Mereka berniaga untuk meneruskan kehidupan, menyara keluarga, membayar pekerja dan memastikan ekonomi setempat terus bergerak,” jelasnya.
Menurut Sukri, jika kerajaan negeri benar-benar serius ingin membantu rakyat, keprihatinan itu mesti diterjemahkan dalam bentuk dasar yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat marhaen.
Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Selangor mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan beberapa langkah berikut.
“Pertama, melaksanakan pengurangan kadar sewa sekurang-kurangnya 30 hingga 50 peratus bagi tapak penjaja dan premis perniagaan kecil milik PBT, PKNS serta agensi berkaitan kerajaan negeri.
“Kedua, menetapkan tempoh pelaksanaan yang munasabah supaya peniaga benar-benar mendapat kelegaan yang bermakna, dan bukan sekadar bantuan sementara bersifat kosmetik.
“Ketiga, menyediakan mekanisme penjadualan semula atau pemutihan tunggakan sewa bagi peniaga yang benar-benar terkesan,” ujarnya.
Langkah terakhir menurut Sukri, mengadakan libat urus segera dengan persatuan penjaja, wakil peniaga kecil dan pihak terlibat supaya dasar yang dibuat menepati realiti semasa di lapangan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dalam suasana ekonomi yang mencabar, ukuran kecekapan sesebuah kerajaan bukan sekadar pada banyaknya kenyataan dikeluarkan, tetapi sejauh mana keberanian mereka membuat keputusan yang mampu mengurangkan beban rakyat.
“Kerajaan negeri tidak boleh terus bercakap soal kebajikan rakyat, tetapi pada masa yang sama gagal menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang nyata.
“Penjaja dan peniaga kecil menjadi antara nadi penting ekonomi rakyat.
“Kami mahu kerajaan negeri bertindak segera dan menyeluruh, bukan menunggu sehingga tekanan yang dihadapi oleh golongan ini menjadi semakin parah,” katanya.
Justeru katanya lagi, Pemuda PAS Selangor menggesa agar pengurangan kadar sewa ini dilaksanakan segera bagi tapak penjaja, gerai, kiosk, pasar awam dan premis perniagaan kecil milik PBT di seluruh negeri, termasuk premis di bawah agensi berkaitan kerajaan negeri seperti PKNS dan pihak lain yang berada di bawah kawal selia kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











