
HIMPUNAN Alam Melayu dan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 yang berlangsung di Terengganu Darul Iman pada 2 hingga 4 April 2026 bukan sekadar perhimpunan umat Islam serantau, malah membawa makna strategik kepada masa depan ummah.
Kehadiran tetamu dan peserta dari seluruh negara, termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja dan Sri Lanka membuktikan bahawa kesedaran untuk memperkukuh ukhuwah serta jati diri Alam Melayu masih hidup dan sedang digerakkan dengan lebih tersusun. Himpunan ini menyampaikan satu mesej yang jelas iaitu perpaduan ummah di Alam Melayu tidak boleh lagi ditangguhkan. Alam Melayu bukan sekadar wilayah geografi. Alam Melayu ialah wilayah sejarah, tamadun dan jati diri yang panjang, dibina oleh tradisi ilmu, bahasa, budaya, pemerintahan dan perdagangan.
Kedatangan Islam kemudiannya memperkukuh identiti masyarakatnya menyuburkan adab, membina undang-undang dan membentuk teras jati diri umat di rantau ini. Kehalusan budi dan kelembutan jiwa masyarakat Melayu sejak awal terbukti serasi dengan ajaran Islam. Oleh sebab itu, Islam di Alam Melayu berkembang dengan penerimaan yang luas tanpa melalui peperangan dan kekerasan. Justeru, usaha penyatuan umat Melayu pada hari ini tidak boleh berdiri atas sentimen sempit atau kepentingan bermusim, ia mesti dibina atas asas Islam dan akidah yang menyatukan.
Masalah utama umat pada hari ini bukan kerana kita tidak mempunyai kekuatan. Masalahnya ialah kegagalan menyusun kekuatan itu secara bersama. Sejarah membuktikan bangsa Melayu pernah membina tamadun besar dan menguasai wilayah strategik dunia. Kedudukan Alam Melayu di laluan perdagangan utama seperti Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan menjadikan rantau ini pusat ekonomi antarabangsa. Dari situ muncul kerajaan-kerajaan besar seperti Majapahit dan Kesultanan Melayu Melaka. Kita pernah kuat, disegani dan mencorakkan laluan ekonomi serta politik serantau. Namun, sejarah juga mengajar bahawa kekuatan itu boleh merosot apabila kesatuan gagal dipelihara.
Dalam konteks politik Malaysia hari ini, perpecahan politik Melayu bukan lagi soal persaingan biasa antara parti, tetapi telah menjadi ancaman jangka panjang terhadap struktur kuasa politik negara. Politik menentukan dasar negara, politik menentukan keutamaan dalam pendidikan, ekonomi, bahasa, institusi, perpaduan nasional dan kedudukan agama. Apabila kuasa politik Melayu terus berpecah dalam tempoh yang panjang, yang rugi bukan sekadar parti-parti Melayu, tetapi bangsa Melayu, kedudukan Islam, hak Bumiputera dan kestabilan negara itu sendiri .
Kesan perpecahan ini besar dan menyentuh teras sistem negara. Ia melibatkan soal persempadanan kawasan pilihan raya, pelaksanaan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta keupayaan politik untuk mempertahankan kepentingan strategik umat. Jika politik Melayu terus berpecah, kekuatan majoriti yang diperlukan untuk menyokong, membahaskan atau menentang sesuatu dasar akan semakin lemah. Akibatnya, orang Melayu dan Bumiputera akan kehilangan keupayaan politik yang tersusun untuk mempertahankan kedudukan mereka dalam sistem demokrasi negara. Hal ini turut melibatkan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tanpa kekuatan, persefahaman dan agenda bersama, kelompok yang sepatutnya menjadi tonggak negara akan semakin sukar mempertahankan hak, peluang dan kedudukan mereka secara berkesan.
Yang paling membimbangkan, kesan terbesar perpecahan hari ini akhirnya akan ditanggung oleh generasi muda, khususnya Generasi Z dan Generasi Alpha. Mereka bukan sahaja mewarisi politik yang penuh perbalahan, bahkan mungkin mewarisi sistem yang semakin lemah dalam mempertahankan identiti, peluang pendidikan, kekuatan ekonomi, kedudukan bahasa dan masa depan umat. Jika kita gagal menyelesaikan perpecahan hari ini, generasi akan datang akan membayar harga yang jauh lebih mahal.
Sebab itu, parti-parti politik Melayu tidak boleh terus berada dalam keadaan berpecah tanpa kerangka penyatuan yang lebih besar. Mereka perlu bersatu di bawah satu ‘payung besar’ Melayu-Islam yang mampu menaungi semua parti, tokoh dan kelompok utama. Payung besar ini bukan untuk memadamkan identiti masing-masing, tetapi menjadi medan musyawarah, penyelarasan dan persefahaman dalam isu-isu teras yang menyentuh kelangsungan agama, bangsa dan watan. Tanpa payung besar seperti ini, perpaduan akan terus bersifat bermusim rapuh, sementara dan hanya muncul apabila krisis melanda.
Pada masa yang sama, Alam Melayu tidak boleh terus bergerak secara terpisah dalam menghadapi cabaran geopolitik, ekonomi, pendidikan dan identiti yang semakin kompleks. Langkah untuk menubuhkan sekretariat Alam Melayu seperti yang diumumkan dalam deklarasi himpunan menunjukkan keseriusan semua pihak yang hadir untuk melihat Alam Melayu kembali menjadi peneraju, sebagaimana kejayaan yang pernah dicapai sebelum ini .
Justeru, Himpunan Alam Melayu ini wajar menjadi titik mula kepada kesedaran baharu, masa depan bangsa dan agama tidak boleh terus digadaikan akibat kegagalan pemimpin masyarakat dan parti politik mengurus perbezaan secara matang. Perpaduan bukan bermaksud seragam dalam semua perkara, tetapi mencari titik temu dalam perkara yang menyentuh kelangsungan umat. Jika orang Melayu terus berpecah, yang paling rugi ialah orang Melayu sendiri. Maka, sudah tiba masanya kita membina perpaduan dengan jiwa yang besar berteraskan Islam dan akidah yang menyatukan demi masa depan Malaysia dan seluruh Alam Melayu.
DR MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari
dan pemerhati politik semasa – HARAKAHDAILY 7/4/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











