
HULU SELANGOR: Pelaksanaan inisiatif Madani Mart dibimbangi berisiko menjejaskan daya saing peniaga kecil lain, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan dalam pasaran.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun, berkata usaha menurunkan harga barang sememangnya wajar disokong, namun pelaksanaannya perlu memberi manfaat lebih luas, khususnya kepada peniaga kecil di seluruh negara.
“Situasi itu mengingatkan kepada konsep Kedai Rakyat 1Malaysia yang pernah dilaksanakan sebelum ini dan menjadi sasaran kritikan,” katanya menerusi perkongsian di laman sosialnya, hari ini.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan inisiatif Madani Mart yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai langkah positif dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup, namun berpendapat pendekatan tersebut perlu diperluaskan secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya menumpukan kepada satu saluran sahaja, sebaliknya perlu mendapatkan harga borong lebih rendah daripada pembekal dan mengagihkannya kepada semua peniaga kecil.
“Jika kerajaan mampu mendapatkan harga rendah untuk satu premis, kenapa tidak diperluaskan kepada semua pemborong dan peniaga?
“Dengan itu, peniaga kecil juga boleh membeli pada harga murah dan seterusnya menjual kepada pengguna dengan harga lebih rendah,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan sedemikian bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu peniaga kecil yang kini berdepan kos borong lebih tinggi berbanding premis tertentu.
Selain itu, katanya, timbul persoalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan apabila terdapat penglibatan individu berkaitan politik dalam pengurusan inisiatif berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan yang lebih inklusif dan telus supaya manfaat penurunan harga barang dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia, termasuk golongan peniaga kecil.
“Fikirkanlah kepentingan rakyat secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2026











