
BALING: Subsidi minyak bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak tahun 1983 selepas diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sekiranya ada pihak yang mendakwa perkara itu dilaksanakan di era pentadbiran Kerajaan Madani, jelas ia adalah salah.
“Timbalan Presiden PKR (Nurul Izzah Anwar) waktu itupun belum lahir lagi. Subsidi minyak ini bukan perkara baru. Dah lama. Diteruskan pelaksanaannya hingga sekarang
“Bukan dibuat zaman Madani ni. Janganlah perasan,” bidas beliau ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) 2026, di sini.
Sanusi berkata demikian sebagai menjawab kecaman Nurul Izzah terhadap konvoi motosikal Menteri Besar SG4 di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah, di Terengganu, baru-baru ini.
Anak sulung Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan konvoi bermotosikal turut disertai kira-kira 3,000 anak muda itu sebagai pembaziran minyak subsidi.
“Tu yang (Anwar Ibrahim) naik helikopter, semua tu lagi makan minyak kuat. Minyak motosikal satu kilometer, berapa sen saja? Helikopter berbelas ribu ringgit. Bila orang mula banding, hang (kamu) pening.
“Tak usah dok kacau program orang, pi selesai masalah hampa (kamu) dulu,” tambah Sanusi pada majlis di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), di sini hari ini.
Izzah juga menyifatkan konvoi berkenaan sebagai tindakan tidak sensitif kerana diadakan di waktu negara dilanda krisis tenaga global yang dianggap isyarat salah terhadap kepentingan berjimat cermat.
Justeru kata Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, perbalahan Nurul Izzah merebut jawatan dengan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli juga boleh dianggap tidak sensitif kepada masalah negara.
“Habis berselerak negara, hampa punya pasai,” tempelaknya lagi – HARAKAHDAILY 7/4/2026











