Kerjasama awam-swasta pemangkin ekonomi Sarawak sebagai ‘bintang ASEAN’

- Advertisement -

PADA majlis pelancaran buku bertajuk ‘Doing Business in Sarawak’ yang berlangsung pada Disember 2025 yang lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan secara optimis bahawa usaha negeri untuk menjadi Sarawak sebagai peneraju pembekalan tenaga untuk negara serantau menerusi pembangunan infrastruktur dan modal insan kini berada di landasan yang betul.

Beliau menegaskan impak utama pembekalan dan pengeksportan tenaga mampu menjadikan negeri menjadi ‘bintang ASEAN’. Penjanaan, perkongsian dan pembekalan tenaga elektrik ini mampu menyumbang kepada pertumbuhan negara serantau yang turut berdepan dengan peningkatan harga minyak dan petrol.

Apa yang diutarakan oleh Abang Johari mencerminkan pandangan jauh beliau terhadap peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh negeri Sarawak serta pemain-pemain ekonomi yang ingin turut serta dalam pembinaan Sarawak sebagai hub pembekal tenaga, lebih-lebih lagi dalam suasana krisis kenaikan harga minyak dan keperluan penggunaan tenaga. 

- Advertisement -

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak telah memulakan pembekalan tenaga ke negara jiran. Sebagai contoh pembekalan tenaga elektrik ke wilayah barat Kalimantan, Indonesia. Saranan beliau kini, adalah menjurus untuk mempertingkatkan lagi upaya negeri Sarawak untuk membekalkan tenaga ke Semenanjung, Singapura serta Brunei yang dilihat memerlukan khidmat pembekalan tenaga berkenaan.

Pelaburan hijau

Matlamat ini boleh dicapai dengan pembiayaan dana pelaburan hijau yang dilihat mampu menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti setempat dan penjagaan alam sekitar.

Prinsip pelaburan menerusi pelaburan hijau yang berlandaskan Syariah perlu dilaksanakan bertujuan menyokong pembiayaan projek berasaskan teknologi hijau yang mesra alam dan mampan serta mampu memupuk amalan pelepasan sifar karbon dan melindungi alam sekitar.

Bukan sekadar keperluan untuk meningkatkan industri tenaga, Abang Johari juga menyatakan mengenai keperluan ke atas projek strategik lain seperti pelabuhan laut dalam, pembangunan lapangan terbang antarabangsa yang baharu serta keperluan membangunkannya dengan pendekatan berinovasi.

Ini semua memerlukan kolaborasi dengan kontraktor terpilih di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk digemblengkan bersama pelaburan negara ke negeri Sarawak.

Pengurusan pelaburan dan ekonomi digital

Umum mengetahui bahawa negara selama hari ini membiayai hampir keseluruhan projek pembangunannya secara sendiri.

Selain daripada pendekatan konvensional ke atas pelaburan masuk, negara kita mengamalkan juga sistem pelaburan berasaskan Syariah melalui penerbitan sukuk dan pengurusan kewangan Islam untuk projek-projek pembangunannya.

Kewujudan sistem ini membantu kita memahami keperluan untuk memperkasakan ekonomi digital yang lebih cekap menerusi penggunaan Fintech (AI, Blockchain, Cloud Accounting & Bio-metrix Tech) serta penggunaan e-Payment dan e-Invoice dalam aspek pengurusan projek pembangunan mega yang dianugerahkan.

Pelaburan berasaskan nilai dan integriti

Prinsip pembangunan yang berasaskan nilai dan integriti ini pula merujuk kepada satu bentuk pembangunan ekonomi dan sosioekonomi yang adil, saksama yang didukung dengan semangat kecintaan, persaudaraan dan tolong menolong sesama insan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, apatah lagi sesama Islam.

Persoalannya, adakah sistem pengurusan pelaburan projek yang pernah kita ketahui berjaya merealisasikan matlamat pelaburan skala mega seperti yang kita harapkan dan bebas daripada isu skandal kewangan?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu lihat di mana kedudukan pelaburan skala mega, apakah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) melaporkan hal-hal skandal kewangan telah ditangani secara tuntas.

Pada hakikatnya, mekanisme pengurusan pelaburan yang dilaksanakan dilihat tidak mengikuti polisi dan standard piawaian pengurusan beraudit dan kesan ketirisan dalam pelaburan ini berakhir kepada rakyat menanggung beban hutang, kesan daripada penilaian projek pada harga tidak munasabah dan kegagalan untuk menyiapkannya.

Autonomi dan pengurusan pelaburan mampan

Apakah hal ketandusan nilai dan integriti ini perlu dibiarkan tanpa noktah? Ketidakcekapan pengurusan kewangan mengakibatkan tuduhan-tuduhan seperti kegagalan pihak berkaitan mengenalpasti transaksi ketirisan kewangan, gagal menyediakan jejak audit yang lengkap serta pelbagai alasan ketidakcekapan dibiarkan berulang.

Kita telah dipandu dengan kajian dan penulisan ahli ekonomi Islam dahulu dan terkini untuk menterjemahkan sistem ekonomi Islam dalam kehidupan ini. Matlamat dalam mencapai keredhaan Ilahi, kesepaduan dan kebersamaan dalam mengurus ekonomi serta menjaga maslahat ummah merupakan faktor utama yang perlu diusahakan.

Model kerjasama awam-swasta (Penswastaan)

Kesepaduan dan kebersamaan dalam menguruskan ekonomi boleh dijadikan asas kepada kerjasama pengurusan ekonomi di mana gabungan tiga pihak meliputi pihak kerajaan, swasta dan pendidikan perlu direncanakan.

Berdasarkan kepada model triple helix yang menggagaskan kesepaduan menerusi perkongsian yang padu dalam platform penerimaan pelaburan berimpak tinggi menerusi model Kerjasama Awam-Swasta dengan jenis perolehan Penswastaan.

Ekuiti dalam syarikat bertujuan khas perlu dibentuk secara unik mengikut acuan tempatan. Di mana permasalahan berkaitan dengan kesaksamaan pemilikan ekuiti perniagaan antara kaum, kemiskinan bandar, pengangguran graduan dan ketandusan nilai integriti dalam pengurusan projek harus ditangani dan digalas pihak swasta yang diamanahkan menjaga kepentingan kerajaan dan awam.

Menerusi model Kerjasama Awam-Swasta (Penswastaan) yang dipatenkan oleh Malaysian Fintegrity Holding Sdn Bhd (MFHSB) serta pelaburan negara, syarikat kami, pada masa hadapan, perlu menjaga kepentingan kerajaan serta memanfaatkan keuntungan yang diperoleh untuk penjanaan semula sosioekonomi anak negeri melalui perniagaan berasaskan mudharabah bagi menangani permasalahan yang dinyatakan.

Pendekatan mudharabah membuka ruang kepada PKS dan kontraktor tempatan untuk menjalin kerjasama dalam mendapatkan modal perniagaan menerusi program MFHSB. Inisiatif ini bukan sahaja merangsang pembangunan negeri, malah memperkasakan komuniti tempatan melalui peningkatan pegangan ekuiti dalam ekonomi negara.

Saito dalam artikelnya ‘How Private are They? Privatization in Japan’ menyatakan agar bentuk penswastaan penuh atau sempurna dilaksanakan bagi pihak kerajaan bertindak sebagai badan kawal selia, penjaga kepentingan awam, menguatkuasakan dasar dan undang-undang yang termaktub secara berkesan.

Sekiranya hal pengurusan ekonomi secara bersama ini berlaku, negeri Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari akan melakar satu langkah pengurusan pelaburan mampan dan negeri terawal yang mengadaptasi kerangka kerjasama awam-swasta ini untuk dibiayai dan dicontohi negeri-negeri lain. Sejajar dengan matlamatnya untuk menjadi ‘bintang ASEAN’ dalam hal pembekalan tenaga, malahan mampu mempertingkatkan sosioekonomi rakyat negeri tersebut.

Perlu kesungguhan politik

Berbalik kepada persoalan, mampukah kita merealisasikan model kerjasama ini secara bersama dalam mengurus dan membangunkan ekonomi adalah bergantung kepada sejauhmana kesungguhan pihak kerajaan negeri untuk mewujudkan sistem pengurusan kewangan dan pelaburan projek secara bersama ini.

Hakikatnya tidak mustahil jika kita ingin lihat sistem pengurusan projek secara sinergi ini dapat dilaksanakan, cumanya laluan perlu diberikan, dengan jaminan, bahawa kerangka kerja ini dilaksanakan tanpa mengganggu jenis perolehan projek pembangunan yang lain.

Bagaimanapun adalah lebih baik rangka kerja kerjasama ini dapat dilaksanakan sekiranya pihak swasta, kerajaan, serta akademik komited ingin bersama menjayakan hal pengurusan pelaburan negara berasaskan nilai dan integriti demi untuk mencapai matlamat pembangunan negeri mampan dan mematuhi syariah.

DR FAIRUS HAMDAN
Pengarah Urusan,
Malaysian Fintegrity Holding Sdn. Bhd. (1360501-W) – HARAKAHDAILY 7/4/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -