Rakyat terhimpit, Pakej Ekonomi Selangor diperlukan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari perlu segera mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Khas bagi membantu kumpulan yang paling terkesan dengan krisis ekonomi semasa, gesa Muhammad Faizzuddin Mohd Zai.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Selangor berkata, Selangor sebagai negeri penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar negara tidak boleh sekadar menjadi pemerhati atau bergantung sepenuhnya kepada bantuan di peringkat Persekutuan.

“Jangan ulangi kesilapan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya turut menuntut agar intervensi segera dilakukan sekurang-kurangnya terhadap tiga isu kritikal.

Garis beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, isu pertama melibatkan pemberian bantuan tunai tambahan kepada pengguna diesel B40 dan M40.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan memperuntukkan bantuan BUDI MADANI sebanyak RM300, jumlah itu dianggap tidak mencukupi dengan harga diesel semasa.

“Sebagai contoh, pengguna diesel B40 dan M40 yang menggunakan 200 liter perlu membayar sehingga RM904 selepas tolak RM300, manakala pengguna RON95 bagi kategori B40, M40 dan T20 hanya perlu membayar RM398 untuk jumlah liter yang sama.

“Ini bermakna pengguna diesel terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM506,” ujarnya.

Isu kedua kata Faizuddin, kerajaan negeri diminta melaksanakan pemberian bantuan tambahan untuk pekebun dan penternak kecil (Agri-Komoditi) di Selangor.

“Sektor pertanian dan penternakan kecil di kawasan seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Langat kini menghadapi dilema akibat kenaikan harga diesel yang meningkatkan kos logistik dan operasi.

“Bagi penggunaan 300 liter, penternak dan pekebun kecil terpaksa membayar RM1,506 selepas tolak RM300, manakala pemain industri di bawah skim SKDS 2.0 hanya membayar RM645.

“Kos tambahan yang ditanggung mereka adalah sebanyak RM861,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau berkata, isu ketiga pula melibatkan jaminan kelangsungan projek rumah mampu milik (Rumah Selangorku).

“Kerajaan Negeri disaran memberi jaminan dan menyediakan ‘exit plan’ khusus bagi projek perumahan mampu milik yang sedang berjalan.

“Kenaikan kos bahan binaan akibat logistik diesel yang tinggi berisiko menyebabkan kontraktor menanggung kerugian besar dan projek terbengkalai.

“Ini akan menjejaskan impian anak muda Selangor untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Justeru Faizzuddin menegaskan, kelewatan Kerajaan Negeri bertindak hanya akan memburukkan kesan ekonomi di Selangor, terutama bagi golongan miskin bandar, selain berpotensi menjejaskan bekalan makanan di kawasan terpencil dan pedalaman.

Terdahulu, 1 April 2020, Kerajaan Selangor telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0.

Menurut Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM272 juta pada pakej kali ini.

Di mana jumlah ini, dapat membantu rakyat negeri untuk menghadapi cabaran ekonomi serta pasca pandemik Covid–19. – HARAKAHDAILY 5/4/2026

- Advertisement -