
KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga petrol dan diesel memerlukan penyelesaian segera, bukannya naratif mahukan justifikasi dasar yang lemah kerana rakyat akan berhadapan dengan lonjakan kos sara hidup tanpa belas kasihan.
Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sehingga kini Kerajaan Madani dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak mempunyai pelan jangka pendek yang benar-benar ampuh, sedangkan isu berkenaan memerlukan penyelesaian segera.
Lebih malang katanya, Kerajaan Madani bukan sahaja dilihat gagal dalam aspek komunikasi, malah dasar yang dikemukakan lemah dan mengelirukan.
“Apa yang diumumkan tidak selari dengan realiti permasalahan yang dihadapi rakyat di bawah. Rakyat semakin marah dan hilang kepercayaan,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu pada kenyataannya, hari ini.
Tegasnya lagi, kenaikan harga petrol dan diesel pastinya akan mengakibatkan kos perkhidmatan berkaitan logistik meningkat dan sudah tentu harga barangan akan naik melambung dalam tempoh terdekat.
“Dari beras ke sayur, dari susu anak ke minyak masak dan berbagai lagi keperluan hidup, akan semakin jauh dari kemampuan rakyat biasa,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.
Implikasi berkenaan katanya, akan memberi kesan yang lebih teruk kepada golongan B40 dan M40, sementara rakyat miskin semakin sukar bernafas, manakala golongan sederhana pula mula jatuh satu demi satu.
“Ramai rakyat baik Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa yang dahulu stabil, kini mula berkira setiap sen untuk hidup. Kos pengangkutan meningkat, rantaian ekonomi terjejas. Perusahaan kecil dan sederhana, peniaga kecil, penghantar barang, petani dan nelayan, semua terkesan.
“Apabila kos logistik naik dan kerajaan gagal membendungnya dengan berkesan maka di hujungnya rakyatlah yang menanggung sengsara,” ulasnya tidak menolak, keadaan sedemikian tidak memustahilkan tekanan emosi dan mental rakyat akan semakin memuncak.
“Apa tidaknya kerana di sebalik angka, statistik dan alasan demi alasan yang dipersembahkan oleh kerajaan, ada keluarga yang terpaksa mencatu makanan.
“Realiti hari ini, pendapatan isi rumah tidak naik, tetapi beban terus bertambah. Walaupun ada sedikit kelegaan buat kakitangan sektor awam yang menerima kenaikan gaji baru-baru ini.
“Tetapi ia bagaikan tiada makna kerana kenaikan harga barang jauh lebih besar dari apa yang diperolehi. Lebih parah buat mereka di sektor swasta yang masih terikat dengan gaji minimum RM1,700 sebulan,” katanya lagi.
Justeru soalnya, adakah dengan situasi tersebut kerajaan mahukan
setiap ketua keluarga melakukan tiga pekerjaan dalam tempoh sehari demi kelangsungan hidup keluarganya.
Malah kata beliau lagi, sekiranya keadaan seperti itu menjadi kenyataan, tidak mustahil berlakunya keruntuhan lebih parah dalam institusi kekeluargaan masyarakat di negara ini.
“Kerajaan Madani juga gagal dalam memastikan ketepatan penerima subsidi bersasar. Ramai yang layak tercicir dan tiada mekanisma serta usaha jelas untuk membantu mereka, yang tidak layak pula mendapat manfaat,” katanya lagi
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu juga mengatakan, naratif kononnya harga minyak perlu dinaikkan untuk memutuskan rantaian penyeludupan, menggambarkan betapa lemahnya dasar, komunikasi dan penguatkuasaan Kerajaan Madani.
Tegasnya, jika penyeludupan menjadi isu, sewajarnya agensi pencegahan penyeludupan diperkasakan, malah ia boleh dibanteras dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk meningkatkan keselamatan sempadan negara.
“Kerajaan Madani hari ini sama sekali tidak menggambarkan diri mereka sebagai pejuang rakyat seperti yang laung-laungkan dahulu. Mereka kini tidak peduli kepada rakyat bawahan. Dasar mereka dilihat terlalu teknokratik dan berorientasi perniagaan.
“Gagal membuat kawalan harga yang tegas di peringkat pelaksanaan. Penguatkuasaan longgar membuka ruang manipulasi harga oleh pihak tertentu. Akhirnya rakyat menjadi mangsa,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, kerajaan disarankan agar subsidi bahan api bersasar dilaksanakan lebih telus dan dinamik dengan menggunakan data sebenar yang membolehkan setiap rakyat yang berhak mendapat manfaatnya.
Kata Dr Haim lagi, intervensi harga barang asas secara agresif perlu dilakukan dan jentera kerajaan perlu digerakkan di setiap peringkat, selain turun padang membuat kawalan, bukannya sekadar pantauan.
“Perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan, pengangkutan dan logistik, perlu diberi insentif khas serta dibantu serta diberi bimbingan bagaimana untuk dapat meminimumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Mereka ini tulang belakang ekonomi negara dan penentu kelangsungan hidup rakyat,” tambahnya lagi yang merupakan Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
Beliau juga menyarankan agar program peningkatan pendapatan juga diperkasakan secara bersasar, bukan sekadar bantuan sekali beri tetapi peluang meningkatkan pendapatan secara berterusan.
“Total reformasi ekonomi rakyat perlu dibangunkan. Bangunkan pendekatan ekonomi berteraskan ihsan dan realiti kehidupan rakyat. Ekonomi bukan sekadar angka di atas kertas tetapi ia adalah kehidupan manusia yang perlu dibela dengan jiwa dan empati,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/4/2026











