
KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu memberi penjelasan telus dan berfakta berhubung isu kenaikan harga minyak yang kini mencetuskan persoalan besar dalam kalangan rakyat, gesa Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu berkata, penjelasan menyeluruh perlu diberikan bagi memastikan rakyat memahami asas penetapan harga bahan api serta memastikan tiada unsur ketidakadilan dalam pemindahan kos kepada pengguna.
Menurut beliau, berdasarkan kenyataan rasmi kerajaan dan PETRONAS, struktur bekalan minyak negara melibatkan eksport minyak mentah tempatan yang bernilai tinggi, manakala Malaysia mengimport minyak mentah dari Timur Tengah untuk diproses di Kompleks Pengerang bagi kegunaan domestik.
“Bagaimanapun, terdapat gangguan bekalan akibat konflik geopolitik dengan penghantaran terakhir minyak mentah dari Timur Tengah dilaporkan berlaku sekitar Februari 2026, iaitu sebelum konflik tercetus.
“Sehingga kini, dilaporkan tiada penghantaran baharu berjaya dilakukan, namun bekalan minyak yang telah diproses sedia ada ketika ini dilaporkan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik sehingga Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dr Nurul Islam turut mempersoalkan kewajaran kenaikan harga runcit minyak yang didakwa mengikut harga pasaran semasa selepas konflik, sedangkan stok sedia ada diperoleh pada harga lebih rendah sebelum krisis berlaku.
“Jika minyak mentah yang digunakan ketika ini adalah stok yang dibeli sebelum konflik geopolitik pada harga sekitar USD63 setong, mengapakah harga runcit dinaikkan berdasarkan harga pasaran semasa selepas konflik?
“Adakah wajar rakyat menanggung kenaikan harga berdasarkan harga semasa, sedangkan kos sebenar minyak tersebut diperoleh pada harga yang lebih rendah?” soalnya lagi.
Beliau menegaskan, dasar harga bahan api seharusnya mencerminkan realiti kos sebenar dan bukan sekadar mengikut turun naik pasaran global semata-mata.
Katanya, isu berkenaan bukan sekadar masalah ekonomi, malah melibatkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan menguruskan sumber strategik negara.
“Rakyat tidak menolak realiti pasaran global, namun mereka berhak memahami asas setiap keputusan yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. Kerajaan perlu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan adalah adil dan telus,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2026











