
KUALA NERUS: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan menyertai PAS sebagai langkah politik seterusnya, susulan pemecatannya daripada BERSATU sebelum ini.
Menurut beliau, hala tuju politiknya termasuk konsep ‘rumah baharu’ akan diumumkan dalam masa terdekat, namun ia tidak semestinya melibatkan penubuhan parti baharu.
“Rumah baharu pada saya, mungkin rumah itu sudah tersedia… bukan semestinya bina yang baharu,” katanya dalam sidang media selepas Pidato Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di sini, malam tadi.
Ketika diajukan soalan oleh para pengamal media sama ada PAS merupakan parti dimaksudkan beliau, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memberikan bayangan positif kepada pertanyaan itu
“Insya-Allah, apa salahnya,” ujarnya spontan, namun berkata, beberapa perkara masih dalam proses penyelesaian sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat, justeru beliau tidak menetapkan sebarang tempoh masa.
Dalam pada itu Hamzah juga menegaskan, perjuangan politiknya bukan berasaskan kepentingan peribadi atau survival politik, sebaliknya bertunjangkan agenda memperkukuh kepimpinan Melayu dan kestabilan negara.
“Yang penting pada saya adalah perjuangan itu harus diteruskan. Hari ini kita membincangkan masalah orang Melayu. Apa yang orang Melayu mahukan, sudah tentu orang Melayu mahu melihat negara ini terus dipimpin oleh orang Melayu.
“Atau pemimpin Melayu yang tahu bagaimana nak memberikan keadilan kepada semua,” katanya yang secara khusus menerima sokongan daripada ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU.
Mengulas mengenai kenyataan segelintir pihak yang mengatakan ketidakwajaran beliau keluar dari BERSATU dan ingin masuk kembali ke Perikatan Nasional (PN), Hamzah menjelaskan, beliau kekal bersama gabungan itu dan tidak pernah meninggalkannya.
“Pasal apa tak wajar saya tidak… Saya masih lagi bersama PN. Hari ini saya bertanding pun atas watikah yang diberikan oleh Perikatan Nasional. Ramai daripada ahli Parlimen BERSATU bersama dengan saya. Siapa yang tidak wajarnya?,” katanya.
Katanya, beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen BERSATU apabila 19 daripada 25 wakil rakyat parti itu menyatakan sokongan secara terbuka terhadapnya.
Selain itu katanya, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari seluruh negara turut menyokong beliau, sekali gus dijangka memberi kekuatan kepada mana-mana parti yang bakal disertainya.
“Yang bersama saya ini akan memberikan kekuatan kepada parti yang saya sertai nanti,” katanya yang terdahulu dipecat daripada BERSATU berkuat kuasa serta-merta menerusi notis bertarikh 13 Februari 2026 selepas didapati melanggar perlembagaan parti.
Susulan itu, timbul spekulasi beliau bakal memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kerjaya politiknya. – HARAKAHDAILY 5/4/2026











