Peranan ulama, strategi alam Melayu dan cabaran global

Kepentingan perpaduan umat Islam

- Advertisement -

KUALA NERUS: Perpaduan umat Islam hanya dapat dicapai melalui kepimpinan ulama bertafaqquh yang memahami ilmu al din secara menyeluruh, mengamalkan hikmah, dan bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan ucaptama pada Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 5 2026 bertajuk Perpaduan Umat: Peranan Ulama, Strategi Alam Melayu dan Global.

- Advertisement -

Menurutnya, Islam yang dibawa kepada rakyat Nusantara bukan sekadar agama terjemahan bahasa lain, tetapi al din yang sempurna berdasarkan al Quran dan Sunnah, meliputi ibadah, amanah dan khilafah.

“Islam diterima secara damai di Alam Melayu walaupun penduduk asalnya menganut Hindu dan Buddha, kerana dakwah para ulama dilakukan dengan adil, hikmah dan tanpa paksaan,” ujarnya.

Tambah beliau, ulama ialah ilmuwan yang berilmu fardu ain dan fardu kifayah, memahami hukum Allah dan bertafaqquh dalam urusan umat.

“Ulama yang memahami ilmu al din bukan sekadar pakar ilmu, tetapi pemimpin yang memainkan peranan besar dalam menyatukan masyarakat berbilang bangsa, budaya dan sejarah.

“Sikap bertafaqquh membolehkan ulama menghormati perbezaan mazhab dalam perkara furuk, tetapi tetap bersatu dalam perkara dasar dan rukun Islam,” jelas Tuan Guru Abdul Hadi

Beliau merujuk kepada ayat dan hadis yang menunjukkan umat Islam yang beriman itu bersaudara seperti satu jasad, yang saling menjaga dan menyokong antara satu sama lain.

Tambah beliau, perpaduan umat Islam bukan sahaja penting di Nusantara, tetapi juga pada tahap global.

Beliau memetik Sidang Kemuncak OIC ke 14 di Makkah (2019) yang menghasilkan Deklarasi Makkah, menghimpunkan mufti dan sarjana dari pelbagai negara anggota OIC untuk memperkukuh perpaduan, menangani perpecahan dan mencapai kesefahaman bersama di antara mazhab.

Katanya, Islam pernah menjadi kuasa besar dunia dengan tamadun yang membawa kemajuan kepada seluruh manusia.

Namun, umat Islam kini menghadapi cabaran besar akibat perpecahan, kelemahan kepimpinan, dan kurangnya ulama yang bertafaqquh dalam masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa kelemahan umat berpunca apabila ramai pembaca al Quran tetapi sedikit yang memahami ilmu secara mendalam, sementara ramai pemimpin tetapi sedikit amanah.

Beliau juga menyorot isu penguasaan ekonomi umat Islam sebagai agenda penting.

Beliau mengingatkan langkah Rasulullah SAW yang membina Pasar al Manakhah bagi mengatasi penindasan ekonomi dan memastikan hak adil bagi setiap lapisan masyarakat.

“Satu umat yang bersatu dari segi ilmu, ekonomi dan kepimpinan akan kembali disegani dunia,” katanya.

Beliau turut mengulas tentang Perang Ahzab baharu, di mana umat Islam diperangi oleh gabungan kuasa besar yang bersatu, termasuk konflik di Gaza dan serangan terhadap republik Islam Iran, sebagai satu bentuk cabaran terhadap umat yang berpecah.

“Dalam keadaan Perang Ahzab baharu, ulama dan umat Islam kena bersatu kembali, memperkukuh kekuatan dan menunaikan tanggungjawab untuk membela yang lemah sebagaimana perintah Allah SWT,” ujarnya.

“Sebelum ini Islam menyatukan masyarakat Arab yang berpecah dan ganas kepada satu umat yang bersaudara dan kini kita mesti kembali kepada konsep itu dengan kekuatan iman dan ilmu,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar seluruh umat Islam kembali kepada kefahaman al Quran dan Sunnah, memastikan agama tetap menjadi pedoman dalam semua urusan kehidupan, serta memperkukuh perpaduan sejagat demi masa depan ummah dan keharmonian dunia. – HARAKAHDAILY 03/04/2026

- Advertisement -