
KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu sedang menilai pendekatan terbaik di peringkat negeri bagi berdepan tekanan ekonomi semasa, sejajar dengan perkembangan yang dibincangkan di peringkat Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu susulan mesyuarat khas yang dipanggil Perdana Menteri untuk berkongsi kedudukan ekonomi negara serta langkah yang bakal diambil kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan melaksanakan peranan sewajarnya termasuk menilai kesan ekonomi terhadap negeri sebelum merangka tindakan susulan.
“Kita masih menilai kesan yang paling besar kepada kerajaan negeri dan dalam masa sama akan dan tentunya kita akan mengembleng dengan semua pihak untuk menangani masalah ekonomi kepada rakyat.
“Tidak kira sama ada pihak kerajaan, pihak swasta, persekutuan dan sebagainya, kita akan sama-sama bekerjasama dan berusaha supaya kesan tekanan ekonomi kepada rakyat itu dapat diminimalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, sebarang langkah yang diambil akan mengambil kira keperluan sebenar rakyat di negeri ini tanpa meniru sepenuhnya pendekatan di kawasan lain.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) juga masih di peringkat penelitian memandangkan situasi di Terengganu berbeza dengan Lembah Klang.
“Kebanyakan masa di Lembah Klang itu dihabiskan di atas jalan raya, berjam-jam dengan kesesakan trafik dan sebagainya. Itu memberi kesan kepada penggunaan bahan api petrol yang agak kritikal dalam waktu yang akan datang ini.
“Jadi suasana itu tidak begitu berlaku di negeri Terengganu, tapi kita akan menilai dan kita akan tengok jika ada keperluan bekerja dari rumah, terutamanya pada masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan bersama semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, berhubung kesan krisis Asia Barat terhadap negara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu bertujuan meneliti beberapa langkah serta ikhtiar yang boleh diambil secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran semasa. – HARAKAHDAILY 4/4/2026











