Luka amat dalam keluarga mangsa pemandu mabuk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap kemalangan maut akibat pemandu mabuk pasti meninggalkan kesan amat mendalam kepada keluarga mangsa yang terpaksa menanggung kehilangan secara tiba-tiba dan penuh tragis.

Peguam, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, impak tragedi ini bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, malah turut memberi tekanan emosi, trauma berpanjangan serta beban sosial kepada ahli keluarga yang ditinggalkan.

- Advertisement -

Jelasnya, dalam banyak kes, keluarga mangsa bukan sahaja kehilangan insan tersayang, malah ada yang hilang tempat bergantung dari segi kewangan, terutama apabila mangsa merupakan pencari nafkah utama.

“Kesannya berpanjangan, bukan sahaja kepada mangsa tetapi seluruh ahli keluarga,” katanya ketika ditemu bual dalam Podcast HarakahDaily di Jalan Pahang, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, kesedihan yang ditanggung bukan bersifat sementara, sebaliknya boleh memberi kesan jangka panjang termasuk tekanan psikologi, gangguan emosi dan perubahan drastik dalam kehidupan harian keluarga mangsa.

Menurutnya lagi, tragedi akibat pemandu mabuk ini seharusnya membuka mata masyarakat bahawa ia bukan isu kecil atau terpencil, tetapi satu masalah sosial yang memberi impak besar kepada institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Jelasnya, setiap insiden kemalangan akibat pemandu mabuk membawa implikasi besar, bukan sahaja kepada mangsa terkorban atau cedera, tetapi juga keluarga terpaksa menanggung kesedihan, trauma serta hilang pendapatan.

Beliau turut menegaskan bahawa sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu memandu dalam keadaan mabuk sebenarnya telah ‘menghukum’ keluarga lain yang tidak bersalah.

Terang beliau, dalam banyak keadaan, mangsa terlibat adalah pengguna jalan raya yang tidak bersalah, sekali gus menjadikan isu tersebut sebagai satu bentuk ketidakadilan sosial perlu ditangani dengan lebih serius lagi.

“Ini bukan sekadar kemalangan, tetapi satu kecuaian yang membawa penderitaan panjang kepada orang lain,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.

Menurutnya lagi, tragedi melibatkan pemandu mabuk kini bukan lagi melibatkan kes terpencil, sebaliknya menunjukkan pola berulang yang mencerminkan kelemahan sudut kesedaran dan pematuhan undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa langkah pencegahan perlu diperkasakan secara menyeluruh, termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, pendidikan berterusan serta pembinaan kesedaran dalam masyarakat.

Sarannya, semua pihak perlu memainkan peranan agar lebih ramai keluarga tidak terus menjadi mangsa kepada tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan ini. – HARAKAHDAILY 4/4/2026

- Advertisement -