Pelantikan Ketua Pembangkang hampir muktamad

- Advertisement -

KUALA NERUS: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan proses pelantikan Ketua Pembangkang masih dalam pertimbangan dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan tersebut memerlukan beberapa proses penting sebelum dimuktamad.

- Advertisement -

“Masih ada beberapa proses yang perlu dilaksanakan dan insya-Allah kita akan selesaikan dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu bagaimanapun enggan mendedahkan senarai calon yang sedang dipertimbangkan bagi jawatan tersebut.

“Sabar dulu, kita tengok dalam masa terdekat ini,” ujarnya ringkas.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelewatan pelantikan bukan berpunca daripada perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan, sebaliknya memberi ruang kepada pertimbangan yang lebih teliti.

Katanya, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan juga memberi masa mencukupi untuk mencapai keputusan terbaik.

“Bukan masalah pendapat, tetapi kita masih ada masa untuk membuat pertimbangan. Parlimen pun lambat lagi pada bulan Jun, jadi kita tunggu dahulu,” jelasnya.

Ditanya jangka masa pelantikan akan dimuktamadkan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, tidak memberikan tempoh khusus.

“Saya tak boleh sebut waktu. Kalau sebut, nanti orang tunggu waktu itu pula. Jadi kita pergi kepada proses, insya-Allah bila selesai semua, kita maklum,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dilaporkan akan mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang baharu daripada PAS sebelum akhir Mac selepas beberapa proses dalaman parti selesai dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 4/4/2026

- Advertisement -