Pemandu mabuk, arak ragut nyawa: Awam perlu bersuara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemandu mabuk terus dilihat sebagai ancaman nyata kepada keselamatan awam walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan pertubuhan berkaitan.

Malah, pemanduan di bawah pengaruh arak hingga meragut nyawa pengguna jalan raya yang lain itu semakin membimbangkan dengan kejadian semakin banyak terjadi mutakhir ini.

- Advertisement -

Peguam, Dr Yusfarizal Yussof berkata, masih terdapat segelintir masyarakat memandang ringan risiko memandu selepas mengambil minuman beralkohol, sekali gus mendedahkan pengguna jalan raya lain kepada bahaya.

Pengamal undang-undang yang aktif bersama Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS itu berkata demikian ketika ditemu bual dalam Podcast HarakahDaily, di Jalan Pahang baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar pelanggaran undang-undang, malah melibatkan soal nyawa manusia yang tidak berdosa serta memberi kesan besar kepada keluarga mangsa.

Menurut beliau, sikap tidak bertanggungjawab individu yang memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja melanggar peraturan, malah memperlihatkan kegagalan menghargai nyawa sendiri dan orang lain di jalan raya.

“Kesedaran masih rendah, dan ini membuka ruang kepada tragedi yang berulang,” ujarnya mengakui walaupun pelbagai kempen kesedaran, tahap pematuhan masih belum memuaskan, sekali gus menuntut pendekatan lebih tegas dan menyeluruh.

Tambah beliau, sikap sambil lewa dan tidak mengambil serius kesan pengambilan alkohol sebelum memandu menjadi antara faktor utama berlakunya kemalangan yang boleh dielakkan.

Menurutnya lagi, walaupun undang-undang telah diperketatkan dan hukuman diperkenalkan, masih terdapat individu yang berani mengambil risiko tanpa memikirkan akibatnya.

Jelasnya, kegagalan menangani isu ini secara holistik akan menyebabkan tragedi demi tragedi terus berulang, tanpa perubahan yang benar-benar memberi kesan kepada keselamatan awam.

Tambah beliau, usaha membanteras pemanduan mabuk tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan pendidikan berterusan serta pembinaan kesedaran dalam masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa isu ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk budaya masyarakat yang masih bertolak ansur terhadap perbuatan tersebut serta kurangnya tekanan sosial untuk menegur perlakuan berbahaya.

Menurutnya, budaya mengambil ringan isu arak dan pemanduan mabuk perlu diubah kerana ia bukan sahaja melibatkan pelaku, tetapi turut memberi kesan kepada orang lain yang tidak bersalah.

“Pendekatan sedia ada perlu diperkasakan, bukan sahaja dari segi penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga melalui pendidikan berterusan serta peranan masyarakat dalam membentuk budaya lebih bertanggungjawab.

“Peranan masyarakat amat penting. Jangan hanya bergantung kepada penguatkuasaan, tetapi perlu ada kesedaran bersama untuk mencegah sebelum tragedi berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa peranan komuniti amat penting dalam memastikan perubahan berlaku, termasuk berani menegur dan mencegah individu daripada memandu dalam keadaan mabuk.

Dalam masa yang sama, beliau mencadangkan agar usaha pendidikan dan kesedaran dipertingkatkan secara berterusan, khususnya melibatkan golongan muda yang lebih terdedah kepada gaya hidup berisiko.

Serunya, semua pihak termasuk kerajaan, agensi penguatkuasaan dan masyarakat perlu berganding bahu menangani isu ini secara kolektif, demi memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara dan nyawa tidak menjadi korban akibat kecuaian tidak sepatutnya.

Masyarakat juga seru beliau, perlu lebih bertanggungjawab serta memainkan peranan aktif dalam mencegah kejadian tidak diingini, termasuk menasihati rakan atau ahli keluarga agar tidak memandu dalam keadaan mabuk demi keselamatan semua pihak. – HARAKAHDAILY 4/4/2026

- Advertisement -