Rakyat benci PMX?

- Advertisement -

KADANG-kadang terfikir, mungkin bagi mengelakkan kemarahan rakyat, maka arahan majlis Rumah Terbuka ditiadakan oleh Perdana Menteri (PM). Kerana jikalau kehadiran rakyat yang sangat sedikit, malulah muka mereka.

Dengan isu pengurangan subsidi dari 300 liter kepada 200 liter yang sebenarnya tidak perlu dikurangkan kerana rakyat hanya menggunakan subsidi apabila minyak dipakai. Pernahkah kita dengar bank-bank mengurangkan jumlah pengeluaran wang dengan alasan ramai yang tidak mengeluarkan duit dengan banyak, terutama di kampung-kampung?

Pastinya tidak, kerana wang itu wang kita dan ia sebagai tanggungjawab bank kepada pelanggan. Sama seperti subsidi, kerana menurut PMX ketika menjadi pembangkang dahulu, subsidi itu hak rakyat dan kerajaan bertanggungjawab memberikan subsidi, sambil mengemukakan formula demi formula bagaimana duit subsidi boleh diagihkan kepada rakyat marhaen apabila harga minyak naik. Jadi kenapa harus dikurangkan, jika kita mengikut formula PMX dahulu.

- Advertisement -

Mungkin orang akan berkata, engkau ni nak berpolitik, tak habis-habis. Dah semua orang tahu masa ni perang. Kena jaga keadaan ekonomi, kita kena ikut cakap PMX.

Jika ada yang berkata demikian, maka mereka benar-benar tidak mengenal Anwar Ibrahim. Anwar dalam apa sahaja peluang untuk selamatkan dirinya dan mengenakan orang, beliau akan digunakan sepenuhnya tanpa ragu. Sikap oportunis beliau ini telah dibuktikan dan disaksikan oleh rakyat semenjak puluhan tahun dahulu.

Ia juga diakui rakan politik beliau sama ada dalam parti atau luar parti. Mengaku semua kebaikan yang beliau lakukan sedangkan orang lain yang buat, adalah amalan biasa beliau.

Ya, betul nasihat berjimat cermat itu bagus. Tetapi dalam masa yang sama, diselitkan sesuatu yang mungkin tidak disedari rakyat. Sebagaimana yang kita ketahui, Malaysia diberikan pelepasan oleh Iran dan kapal-kapal yang mengimport minyak boleh bergerak ke Malaysia.

Manakala minyak dan gas Malaysia, tidak mengalami sebarang halangan untuk dieksport ke negara-negara lain. Jika mengikut kiraan matematik mudah oleh PMX sewaktu berdebat dengan Shabery Cheek dahulu, beliau berkata subsidi boleh diberikan dengan lebih banyak kerana setiap kenaikan harga minyak, PETRONAS akan mendapat keuntungan jutaan ringgit. Ini formula, siapa yang ajar? Kata beliau menyindir Shabery.

Sekarang, jika kuota minyak sudah habis, rakyat terpaksa membeli minyak dengan harga tanpa subsidi. Apa kaitan dengan perang, kerana PMX juga yang memaklumkan dengan bangganya yang Iran membenarkan kapal-kapal ke Malaysia dibenarkan bergerak. Walaupun Iran ingin membalas jasa baik Tun dahulu. Tidak nampakkah masalah ini diselitkan sekali dengan seruan berjimat cermat itu?

Sekatan terhadap Terengganu dan Kelantan, masih dilakukan walaupun harga minyak naik. Sepatutnya diberikan lebih banyak royalti kepada kedua negeri ini kerana PETRONAS untungnya meningkat, hasil dari kenaikan harga minyak ini. Ia sebenarnya mudah, tetapi dendam telah menyusahkan rakyat.

Walaupun ada pihak mendakwa beliau mendapat sokongan melalui beberapa institusi yang menjalankan kajian, akan tetapi hakikatnya, sokongan itu dilihat sebagai angka yang menyedapkan mata untuk dilihat. Jauh di sudut hati, igauan kebencian rakyat menghantui mereka.

Jadi jika dibuat Majlis Rumah Terbuka, tiba-tiba diboikot rakyat, di mana hendak diletakkan muka PMX?

Saya kongsikan tulisan dan gambar-gambar dari Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar (MB) Kedah dari Facebook Setiausaha Akhbar MB Kedah, Muhamad Mat Yakim untuk tatapan semua. Puluhan ribu jumlah kehadiran rakyat dari berbagai lapisan masyarakat, di sebalik kutukan terhadap MB Kedah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 31/3/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -