
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika memilih untuk menyembunyikan dapatan siasatan demi melindungi seorang individu, maka beliau bukan lagi pejuang reformasi, sebaliknya sebahagian daripada masalah yang dijanjikan untuk diselesaikannya.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian sebagai mengulas laporan terkini Bloomberg yang mendakwa Anwar mengarahkan supaya hasil siasatan ke atas Tan Sri Azam Baki tidak didedahkan kepada awam buat masa ini.
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu sebelum ini telah didakwa memiliki jumlah saham yang besar dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat sebagaimana didedahkan oleh media antarabangsa tersebut.
“Laporan ini, jika benar, adalah satu pengkhianatan besar terhadap prinsip ketelusan yang Anwar sendiri janjikan di Parlimen pada 3 Mac lalu. Pada hari itu, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan mematuhi proses wajar.
“Rakyat menerima jaminan itu dengan baik. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. Laporan siasatan oleh Jawatankuasa Khas yang diketuai Peguam Negara sudah selesai. Ia sudah dibentangkan di Kabinet. Ia sudah dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara.
“Namun rakyat masih dalam gelap. Persoalannya mudah, jika dapatan siasatan itu membuktikan Azam Baki tidak bersalah, mengapa perlu disembunyikan? Dan jika dapatan itu membuktikan beliau bersalah, mengapa beliau masih berkhidmat sebagai Ketua SPRM?
“Dalam mana-mana keadaan, jawapannya adalah sama, dedahkan laporan itu,” gesa beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan hari ini.
Dua wajah satu pemimpin
Beliau turut mengimbas tahun 2022, apabila Azam Baki pertama kali didedahkan dengan isu pegangan saham serupa di mana Anwar sendiri sebagai ketua pembangkang, paling lantang menuntut supaya Azam digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Namun hari ini kata Tuan Ibrahim, sebagai Perdana Menteri, Anwar bukan sahaja enggan menggantung, malah telah membaharui kontrak Azam sebanyak tiga kali, dan kini apabila siasatan sudah selesai, beliau mengarahkan supaya hasilnya tidak didedahkan segera.
“Ini bukan sekadar percanggahan. Ini adalah bukti bahawa prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang Anwar laung-laungkan selama ini hanya terpakai apabila ia memihak kepadanya. Apabila ketelusan mengancam kepentingannya, ia ditangguhkan,” bidasnya.
Tegas beliau, isu tersebut bukan mengenai Azam Baki semata-mata, tetapi adalah berkenaan integriti seluruh sistem pencegahan rasuah Malaysia di mana Bloomberg pada Februari lalu telah mendedahkan dua perkara yang sangat serius.
Pertama katanya, pegangan saham Azam yang melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam; dan kedua, dakwaan bahawa pegawai-pegawai kanan SPRM terlibat dalam satu rangkaian digelar ‘mafia korporat’; menggunakan kuasa siasatan untuk merampas syarikat-syarikat.
Menurut beliau, apabila Perdana Menteri menghalang pendedahan laporan siasatan, mesej yang dihantar kepada rakyat dan dunia adalah jelas, iaitu Malaysia tidak serius dalam memerangi rasuah, di mana ini menjejaskan keyakinan pelabur dan merosakkan imej negara.
“Paling tragis, ia membunuh harapan rakyat yang telah lama menunggu sebuah kerajaan yang benar-benar bersih,” ujarnya yang atas prinsip tertinggi kepimpinan iaitu amanah, telah mengemukakan empat tuntutan.
Pertama, laporan siasatan Jawatankuasa Khas yang diketuai Peguam Negara mesti didedahkan sepenuhnya kepada rakyat dalam tempoh tujuh hari. Tidak ada sebarang justifikasi untuk menyembunyikan maklumat yang menyentuh kepentingan awam yang sebesar ini.
Kedua, jika dapatan siasatan mendapati Azam Baki melanggar peraturan pegangan saham penjawat awam, beliau mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan disiplin dan undang-undang diambil. Badan pencegah rasuah tidak boleh diketuai oleh seseorang yang dirinya sedang disiasat atas dakwaan rasuah.
Ketiga, kerajaan mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan SPRM. Jawatankuasa dalaman yang dilantik oleh eksekutif sendiri tidak mencukupi untuk menangani dakwaan seberat ini. Rakyat berhak mendapat siasatan yang benar-benar bebas.
Keempat, Parlimen mesti memainkan peranan pengawasan yang sewajarnya. SPRM mesti diletakkan di bawah pemantauan langsung Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, bukan di bawah perlindungan eksekutif yang mempunyai kepentingan politik untuk melindunginya.
“Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa amanah bukan milik beliau. Ia milik rakyat. Reformasi yang beliau perjuangkan selama dua dekad bukan sekadar slogan untuk memenangi pilihan raya. Ia adalah janji suci kepada jutaan rakyat.
“Rakyat percaya bahawa Malaysia layak mempunyai pemimpin yang telus, akauntabel, dan berani. Rakyat sedang memerhatikan. Sejarah sedang mencatat. Rakyat tidak meminta lebih daripada apa yang dijanjikan.
“Kami hanya meminta Perdana Menteri menunaikan kata-katanya sendiri, siasatan yang telus, keputusan yang adil, dan pemimpin yang berani,” ujarnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 30/3/2026











