
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera menggariskan pelan mitigasi ekonomi yang lebih jelas bagi menghadapi impak krisis Asia Barat di mana kini memasuki minggu kedua, bagi memastikan kestabilan harga pasaran dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, meskipun kerajaan telah mengeluarkan kenyataan awal, penilaian menyeluruh berhubung impak ekonomi jangka pendek dan panjang masih dilihat samar tanpa petunjuk konkrit.
Beliau berpandangan, konflik yang tercetus sejak 28 Februari lalu berpotensi memberi tekanan besar kepada ekonomi global melalui kenaikan harga petroleum, gangguan rantaian bekalan serta lonjakan kos logistik.
“Kenyataan Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi setakat ini lebih bersifat ulasan umum mengenai harga minyak dan inflasi. Namun, rakyat dan pelabur memerlukan keyakinan melalui langkah fiskal yang jelas sekiranya konflik ini berlarutan.
“Kejelasan dasar ini penting bagi memastikan keyakinan pasaran terhadap keupayaan negara mengurus ketidaktentuan global,” katanya yang pernah berpengalaman bersama konglomerat Sime Darby.
Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS mencadangkan supaya kerajaan mengguna pakai kerangka ‘3M’ iaitu ‘menyerap, melindungi dan memperkasa’ sebagai langkah dasar mendepani krisis dijangka tersebut.
Beliau selaku juga Setiausaha Politik Presiden PAS berkata, langkah pertama melibatkan usaha ‘menyerap’ kejutan melalui mekanisme penstabil harga dan pengurusan rizab tenaga serta bekalan makanan yang lebih fleksibel.
“Kedua, kerajaan perlu ‘melindungi’ rakyat dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) daripada tekanan kos melalui bantuan bersasar serta penglibatan institusi kewangan, mengambil iktibar daripada pengalaman mengemudi impak pandemik sebelum ini.
“Seterusnya, langkah ‘memperkasa’ daya tahan domestik perlu diperkukuh melalui keterjaminan bekalan makanan dan tenaga bagi menyokong kelangsungan sektor keusahawanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang langkah mitigasi diambil tidak seharusnya berakhir dengan pemindahan beban kewangan kepada rakyat melalui peluasan cukai atau mekanisme yang menekan sektor swasta.
“Kenaikan harga minyak dunia tidak semestinya memberikan keuntungan bersih kepada negara kerana kos subsidi bahan api juga akan meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.
“Rakyat berhak mengetahui pelan luar jangka yang sedang disediakan. Secara prinsipnya, kerajaan tidak boleh memindahkan beban krisis ini kepada rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2026











